Most Read
Most Commented
Read more like this
mk-logo
News

Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Noor, pagi tadi mengaku bersalah di atas tuduhan yang baru dipinda bahawa beliau menyebabkan 'kecederaan ringan' kepada bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika beliau berada dalam tahanan polis di Bukit Aman pada 20 September, 1998.

Hakim Mahkamah Sesyen Akhtar Tahir akan menetapkan hukuman ke atas Rahim esok.

Semasa perbicaraan bermula pagi ini, pihak pendakwa meminda pertuduhan terhadap Rahim daripada Seksyen 325 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 511, yang membawa hukuman penjara tiga setengah tahun dan denda mengikut budi bicara mahkamah jika sabit kesalahan, kepada Seksyen 323 yang membawa hukuman penjara sehingga satu tahun dan denda tidak melebihi RM2,000 atau kedua-duanya.

Peguam bela Anwar, Karpal Singh, berkata pindaan itu 'tidak adil' kerana tuduhan asal disarankan oleh Suruhanjaya Siasatan Diraja yang dibentuk untuk menyiasat kecederaan ke atas bekas pemimpin negara itu ekoran desakan orang ramai.

Karpal, yang bertindak mewakili Anwar sebagai pemerhati dalam kes itu, dihalang oleh hakim daripada memberikan pandangan berhubung pindaan itu.

Peguam bela Rahim, K. Kumaraendran memberitahu wartawan bahawa tuduhan itu dipinda khususnya kerana kecederaan pada Anwar tidak tergolong dalam 'kecederaan parah' seperti diperuntukkan dalam bidang perundangan.

"Kami fikir saranan Suruhanjaya Diraja itu tidak sesuai," katanya.

Di bawah Kanun Keseksaan, 'kecederaan parah' ditafsirkan sebagai pemandulan, kerosakan berkekalan pada mata dan telinga, kerosakan pada bahagian kepala atau keretakan atau seliuh pada tulang.

Anwar, selepas ditangkap, muncul di mahkamah dalam keadaan mata kirinya lebam dan berkata beliau dipukul ketika berada dalam tahanan polis. Seorang doktor yang memberikan keterangan dalam suruhanjaya siasatan itu berkata pukulan di bahagian leher dan kepala kiri Anwar "mampu membunuh."

Tuduhan asal, seperti saranan suruhanjaya bebas tersebut, diterima oleh Peguam Negara Tan Sri Mohtar Abdullah. Kumaraendran hari ini memberitahu bahawa Mohtar kemudiannya membenarkan pindaan dibuat setelah pendakwa raya itu berpuas hati kecederaan Anwar bukannya 'kecederaan parah.'

Dalam rayuan untuk mengurangkan hukuman ke atas anak guamnya, Kumaraendran meminta mahkamah mengambil kira khidmat cemerlang dan kesetiaan Rahim kepada polis, Raja dan negara.

"Sebagai seorang kakitangan awam, tertuduh telah berkhidmat untuk negara ini dengan rela hati dalam tempoh 30 tahun," katanya kepada mahkamah.

Kumaraendran juga berkata Rahim berada dalam keadaan tertekan pada malam penangkapan Anwar ekoran ketegangan politik dalam negara ini. Sebelum ditahan, Anwar mengetuai perhimpunan 40,000 penyokongnya di Masjid Negara dan Dataran Merdeka sebagai membantah kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamed.

Bandaraya Kuala Lumpur dipenuhi pasukan polis pencegah rusuhan yang menggunakan gas pemedih mata dan kenderaan pemancut air untuk menghalang perarakan yang menuju ke kediaman rasmi Mahathir.

"Terdapat juga kemungkinan mengisytiharkan perintah berkurung dan tertuduh bertanggungjawab terhadap keamanan dan keselamatan negara ini," kata Kumaraendran dalam keterangannya.

Peguam itu juga berkata Rahim menderita "rasa hina yang amat sangat" dalam tempoh 18 bulan lalu dan "lebih menyesal kerana memukul kawannya sendiri (Anwar)."

"Beliau (Rahim) sudah mengaku kesalahannya, menyesal dan berfikir mengenainya sejak 18 bulan lalu," kata Kumaraendran.

Pihak pendakwaan, sementara itu, memberikan hujah bahawa mahkamah sepatutnya menjatuhkan hukuman penjara ke atas Rahim kerana kesalahan yang dilakukan oleh bekas ketua polis itu dianggap 'sangat serius.'

Timbalan Pendakwaraya Sallehuddin Saidin menjelaskan bahawa Anwar, dengan tangannya digari dan matanya ditutup, tidak mampu mempertahankan diri ketika diserang oleh Rahim.

"Dia telah menyalah-gunakan kuasanya dan gagal menunaikan tanggungjawabnya sebagai penegak undang-undang apabila dia bertindak menurut nafsunya," kata Sallehuddin.

Beliau juga berhujah bahawa Rahim tidak mengaku serangan itu walaupun selepas empat bulan siasatan polis.

Rahim, pada 8 Januari tahun lalu, menerima tanggungjawab mencederakan Anwar dan meletakkan jawatannya daripada pasukan polis. Rahim, ketika disoal suruhanjaya bebas itu, mengaku beliau menampar Anwar sebanyak dua kali.

"Jika mahkamah ini gagal menjatuhkan hukuman (penjara) itu, ia akan menghakiskan lagi keyakinan umum terhadap sistem kehakiman," Sallehuddin memberitahu mahkamah.

Rahim yang berpakaian kelabu kelihatan murung sepanjang perbicaraan itu. Beliau juga kelihatan resah, sekejap membuka dan sekejap menutupkan tangannya.

Rahim hadir ke mahkamah dengan tiga orang pengawal. Beliau meninggalkan mahkamah sebaik sahaja perbicaraan hari ini tamat.


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS