Perunding untuk projek pengindahan Sungai Klang dan Sungai Gombak di Kuala Lumpur memberi jaminan untuk mengurangkan kejadian banjir melalui projek bernilai RM4 bilion.
Pengarah Urusan Serantau Perancangan, Reka bentuk dan Pembangunan AECOM, Scott Dunn berkata kejadian banjir tidak akan berlaku kerana pelan dan reka bentuknya memastikan bahawa tembok di tepi sungai lebih tinggi daripada sedia ada.
"Secara asasnya, kita akan tinggikan tembok di tepi sungai. Kita juga bersama JPS (Jabatan Pengairan dan Saliran) akan memastikan yang kami tidak akan meningkatkan risiko banjir sebaliknya mengurangkannya," katanya lagi.
AECOM yang berpengkalan di Amerika Syarikat, dilantik sebagai perunding untuk melaksana pelan induk pengindahan dan reka bentuk projek River For Life itu.
Sejumlah RM4 bilion diperuntukan bagi projek mencantikkan Sungai Klang dan Sungai Gombak di bawah projek River of Life yang merupakan antara Projek Permulaan (EPP) kelima di bawah rancangan Greater KL dan Lembah Klang.
Kerajaan juga melantik EKOVEST-MRCB JV Sdn Bhd (EMJV) menjadi Rakan Penyampaian Projek (PDP) bagi membantu kelancaran pelaksanaan dan penyampaian projek berkenaan.
Dunn berkata kos tersebut dibahagi dua dengan RM1 bilion akan diperuntukkan untuk projek mengindahkan sungai sepanjang 10.7 kilometer itu.
"Kos bagi semua projek ialah RM4 bilion untuk tujuan pembersihan dan mencantikkan sungai. RM3 bilion akan diberi kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan lagi RM1 bilion adalah untuk pengindahan.
"Untuk kesemua komponen, projek ingin mungkin ada siap dalam masa lima tahun dan bagi frasa pertama, ia akan siap pada tahun 2013," katanya kepada pemberita selepas memberi taklimat mengenai pelan struktur pengindahan yang akan dilakukan di dua buah sungai tersebut.
Menurut Dunn lagi, projek pengindahan sungai tersebut akan memakan masa sehingga lima tahun.
Turut hadir pada sesi taklimat itu ialah Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Ahmad Phesal Talib.
