Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Faisal Tehrani: Jangan guna kuasa jawab buku saya

Pengarang terkenal Faisal Tehrani menggesa pihak berkuasa menangani novel barunya Perempuan Nan Bercinta secara akademik dan tidak sewenang-wenangnya menggunakan kuasa untuk mengharamkannya.

NONE "Pegawai agama perlu berada dalam ruang dia sendiri, saya buat kerja saya sendiri.

"Kalau sesiapa nak jawab (buku saya), jawab dalam bentuk akademik, jangan guna kuasa (mereka)," katanya tegas.

Malaysiakini semalam melaporkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sedang mempertimbang untuk mengharamkan novel terbitan Institut Terjemahan Buku Malaysia (ITBM) yang dilancarkan perdana menteri pada 3 Julai lalu.

Penolong Pengarah (Penyelidikan I) Bahagian Perancangan Dan Penyelidikan (Cawangan Akidah) Jakim Mohd Aizam Masod ketika ditanya mengakui perkara itu kerana dikaitkan dengan unsur-unsur Syiah.

Mengulas tuduhan itu, Faisal - felo penyelidik di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) - menjelaskan novel itu memang ditulis dengan tona berbaur Syiah yang agak ketara kerana mazhab itu lapangan kajiannya selama ini.

"Orang lupa sebahagian daripada saya adalah ahli akademik, sebahagian (daripada) novel itu adalah dapatan dari kajian saya," katanya.

Malah katanya lagi, terdapat sebilangan sarjana Melayu Islam yang menggagaskan Syiah untuk ditekuni sebagai satu bentuk falsafah untuk memperkaya tasawur atau pandangan dunia Islam di Malaysia.

Kavyan seru Sasterawan Negara tampil

Antaranya Syed Naquib Alattas dalam bukunya The Concept of Education , makalah Yusof Zaki Yaaqub (1978), dan Dr Burhanuddin al-Helmy dalam Simposium Tarikat dan Tasawuf , kata Faisal.

NONE "Nama-nama yang saya sebutkan adalah mereka yang lakukan kajian ke atas Syiah sebagai falsafah untuk diserapkan dalam dunia Sunni untuk luaskan tasawur kita," tambahnya lagi.

Pertimbangan Jakim itu juga, kata Faisal memberikan nama buruk kepada Datuk Seri Najib Razak yang melancarkan buku itu dan berusaha keras memberikan peruntukan untuk memajukan kesusasteraan Melayu selama.

"Tiba-tiba ada golongan ini, yang melakukan tindakan berlawanan dengan usaha-usaha beliau selama ini," kata penerima Anugerah Seni Negara itu.

Sementara itu, aktivis Kumpulan Sasterawan Kavyan, Uthaya Sankar turut menerima keahlian Faisal dalam kumpulan itu selaku ahli kehormat petang semalam di Pesta Buku Selangor di Shah Alam.

Mengulas kontroversi buku terbaru Faisal, Uthaya menggesa Sasterawan Negara yang ada sekarang tampil menyatakan sikap berkenaan perkara itu.

Beliau turut menggesa kumpulan penulis Melayu yang bersuara lantang menghalang pemurnian novel Interlok sebelum ini bangkit membela Faisal.

"Kenapa tidak, mereka yang pertahan maruah penulis Melayu sama seperti yang pertahan Interlok dahulu (membela Faisal)," katanya.

ADS