Ulasan Malaysiakini

'Saat kita perlukan sergahan minda'

Dr Mohd Faizal Musa  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Pada 2 Oktober 1960, dalam ucapannya di pembukaan Kongres Ahli-Ahli Tarikat As-Sufiah Seluruh Malaya, bertempat di Dewan Bandaran Kuala Lumpur, ahli politik dan agamawan terkenal tanah air yang dikenali sebagai Dr Burhanuddin al-Helmi telah memetik pandangan Syed Jamaluddin al-Afghani, seorang tokoh besar Islam.

Al-Afghani telah ditanyakan apakah makna kepada ‘benih pembaharuan Islam' yang beliau gagaskan; al-Afghani dikatakan membalas pertanyaan itu dengan jawapan yang panjang, sebahagiannya berbunyi:

"Hendaklah kita pulihkan kembali kepada kebenaran perbalahan antara Ahli Sunah dan ahli Syiah. Sesungguhnya perpecahan itu ialah rekaan raja-raja yang tamak..." (Burhanuddin al-Helmi, 2005: 39).

Ketika almarhum Dr Burhanuddin al-Helmi menghimbau kembali alam remajanya, dalam ucapan di kongres tersebut, beliau menjelaskan betapa beliau asalnya "memusuhi jumud dan kolot, pada saya tasawuf dan tarekat itu suatu ajaran mematikan semangat dan campur aduk dengan bidaah" (Burhanuddin al-Helmi, 2005: 34).

Beliau kemudian menyambung, "kemudian setelah saya siasati kedatangan Islam ke Nusantara kita ini dan datuk nenek kita memeluk Islam yang hanif ini terutamanya dan kesan-kesannya ialah daripada ulama Syiah dan ulama tasawuf sama ada ulama-ulama itu datang secara saudagar atau secara mubaligh, bukan masuk melalui ulama-ulama fikah, Islam masuk di Nusantara kita ini " (Burhanuddin al-Helmi, 2005: 35).

Perubahan set minda beliau itu dirujuk oleh Dr Burhanuddin al-Helmi sendiri sebagai "perlawanan di dalam diri saya sendiri" (Burhanuddin al-Helmi, 2005: 36).

Kenyataan-kenyataan Dr Burhanuddin al-Helmi di atas mengandungi makna tersendiri tentunya. Dalam kajiannya mengenai sistem pendidikan Islam di Malaysia, Ahmad Fauzi Abdul Hamid (2010) memaparkan bagaimana keluasan ilmu telah disingkatkan dan dikotakkan oleh sistem pendidikan Islam tempatan, pengkaji ini seterusnya mengulas pendapat Dr Burhanuddin al-Helmi itu seperti berikut:

"By stripping Islamic educatiopn of its pristine ideals, noble purposes and praiseworthy practices, the Malay-Muslim ruling establishment has transformed it into yet another area vulnerably bound to its largesse and patronage, which would ultimately be translated into political influence and support for Umno and BN. Political considerations explain the express prohibition of pluralisme within Malaysian Islam. Any sign of dissent from official Islamic orthodoxy is frowned upon as reflective of deviance that is liable to prosecution in religious courts. Yet, this homogenization of Islam runs against the grain of Islamic history, which is rich with contestations between sects, school of thought and factions. The sufi and Shi'a provenances of Malaysian Islam, as recognized by prominent Malay nationalist Dr Burhanuddin Al-Helmy, have not been fully acknowledge in Malaysia's official Islamic discourse as it does not tally with the ruling elites' hegemonic agenda based on carefully constricted version of Malay-Muslim unity. Thus, Malay Shi'as and sufis have been foremost at the receiving end of government heavy-handedness ostensibly based on the concern to maintain the purity of Islamic faith (Ahmad Fauzi Abdul Hamid, 2010: 76-77)."

Sebahagian besar objektif kajian Ahmad Fauzi Abdul Hamid adalah untuk menunjukkan betapa sistem pendidikan Islam Malaysia telah dibelenggu oleh satu faham, satu sekte atau satu sekolah pemikiran yang statik. Pilihan sekte ini dilakukan oleh state atau negara dan dipaksakan kepada setiap individu Islam.

Adalah penting supaya gejala minda tertawan ini dibebaskan dari kekangan mazhab dan putus-tentu sebuah majlis agama yang hari ini telah menetapkan supaya Islam yang dipraktikkan di muka bumi Malaysia haruslah dari satu acuan, satu sekte, dan kita penganut Islam hanya boleh memuaskan diri semata-mata dengan satu mazhab yang telah ada.

Alasan pihak majlis agama ialah kepelbagaian boleh mengakibatkan perpecahan. Gejala puas dengan satu sekte atau mazhab ini saya namakan sebagai homosektual. Lawannya adalah heterosektual.

Beberapa tahun setelah Dr Burhanuddin al-Helmi bersuara, iaitu pada tahun 1973, dalam sebuah seminar bernama ‘Simposium Sastera dan Agama'; penerbit, sasterawan, penterjemah, dan penerbit yang terkenal al-Marhum Ustaz Yusoff Zaki Yaacob (1986) mengkritik gejala homosektual ini;

"Di Malaysia, kurang terdapat kebebasan berfikir dalam persoalan-persoalan agama. Pemikiran yang menyimpang dari mazhab Syafie akan terdedah kepada tindakan Majlis-majlis Agama di setengah-setengah negeri di Malaysia. Misalnya, baru-baru ini Majlis Agama Perak telah mengharamkan pengedaran sebuah buku mengenai perancangan keluarga, yang dikarang oleh dua ulama besar Mesir dan diterjemahkan ke bahasa Malaysia oleh Jabatan Perancang Keluarga, kerana buku itu dalam penilaian Majlis Agama Islam Perak adalah bertentangan dengan pendapat kitab Al-Mahalli, sebuah kitab aliran mazhab al-Syafie yang amat dipegangi oleh pengikut-pengikut mazhab Syafie.

"Seandainya buku-buku Islamiah yang kontroversial seperti itu didedahkan kepada perdebatan-perdebatan yang terbuka dan bebas dari tembok-tembok mazhab, tentulah kita akan melihat satu polemik yang akan menghasilkan pemikiran-pemikiran Islamiah yang baru, kerana tidak ada pendapat yang mutlak dalam masalah-masalah ijtihad seperti itu.

"Pada hemat saya, adalah lebih membina dan berkesan jika suatu pendapat dalam masalah-masalah ijtihadiah yang kontroversial itu ditumpaskan dengan kekuatan hujah-hujah dari ditumpaskan dengan kekuatan undang-undang kerana cara yang demikian menyegarkan iklim berfikir.

"Di suatu masa yang lampau, karya-karya A Hassan Bandung dan karya-karya Abu Bakar Asyari dan karya Tuan Guru Haji Muhammad Noor Ibrahim, Mufti Kelantan telah diharamkan di Johor Baharu. Malah lebih jauh dari itu dia setengah-setengah negeri di Malaysia, semua kitab-kitab agama harus lebih dahulu disahkan oleh Majlis Agama sebelum diterbit dan diedarkan.

"Inilah saki baki undang-undang penjajah yang digunakan untuk membunuh perkembangan pemikiran-pemikiran Islamis yang dinamis. Undang-undang yang merugikan itu merupakan satu undang-undang agama tahun 1904 yang diperbaiki dalam tahun 1925. Menurut undang-undang ini, sesiapa yang mengecap buku agama tanpa izin dari Majlis Agama akan didenda dua ratus ringgit atau dihukum penjara." (Yusoff Zaki Yaacob, 1986: 9-10)

Kecaman al Marhum Yusoff Zaki di atas bukanlah sesuatu yang asing, Abdullah Taib (1985) seorang antropologis terkenal tanah air dalam bukunya yang berjudul Asas-Asas Antropologi menulis;

"Sejak tahun 1920-an beberapa buah negeri di Tanah Melayu telah menubuhkan Majlis Agama dan Adat Istiadat Melayu. Hingga ke hari ini sudah hampir 60 tahun majlis itu berjalan atas nama seperti itu. Penubuhan majlis agama ini ialah hasil ‘kebijaksanaan' penjajah Inggeris" (Abdullah Taib, 1985: 226).

Harus diingatkan buku beliau ini telah menjadi teks subjek antropologi di kebanyakan universiti-universiti tempatan untuk satu tempoh yang agak lama. Untuk merungkai kekangan dan warisan penjajah ini dari terus membarah, al Marhum Yusoff Zaki (1986: 10) mencadangkan satu rumus iaitu supaya faham heterosektual menjadi pegangan:

"Kini di saat kita mengkehendaki satu bentuk pemikiran Islam yang dinamis, sesuai untuk menjiwai pembangunan kita, maka undang-undang yang cuba menahan perkembangan pemikiran Islam dalam tembok-tembok mazhab yang sempit itu perlu dihapuskan.

"Masanya telah tiba untuk kita memulakan perkembangan pemikiran Islamiah yang tidak tertakluk kepada satu mazhab, kerana persoalan-persoalan yang timbul di zaman moden ini tidak mampu diatasi dengan pemikiran mazhab Syafie sahaja.

"Inilah beberapa faktor yang mendinginkan suasana penulisan Islamiah yang serius di negeri ini. Masalah-masalah ini perlu dihadapi dan diatasi dengan tegas. Jika tidak, masa depan perkembangan karya-karya Islamiah akan lebih gelap dan terus menerus miskin."

Sergahan minda yang segar dari ustaz Yusoff tersebut disambut beberapa tahun kemudian oleh almarhum Profesor Dr Syed Hussein al-Atas (1979) dalam satu acara untuk Hari Sastera yang berlangsung pada 24-27 Julai 1978 di Kuala Terengganu.

Profesor Syed Hussein menyebut:

"Bagi para penulis dan penyair kita di Malaysia dan Asia Tenggara seluruhnya, apakah ertinya soal pembukaan kembali pintu ijtihad ini? Ertinya mereka harus menghidupkan semangat bebas berfikir, bebas dari belenggu feudalisme; dari belenggu faham-faham yang sudah usang; dari belenggu faham taklid yang negatif. Mereka mesti menghidupkan semangat ini hingga ada nanti yang terpengaruh dan tampil ke muka, di kalangan generasi yang akan datang, bagi mendirikan sistem-sistem pemikiran yang dapat menggerakkan jiwa masyarakat ke arah kemajuan dan keadilan. Sebagai penulis-penulis Islam mereka mesti mengetahui dasar-dasar agama Islam; mesti mengetahui tentang ilmu-ilmu zaman sekarang; mesti mengetahui tema-tema yang penting dan yang belum cukup diperhatikan; mesti pandai mengolah unsur-unsur Islam, ilmu pengetahuan, tema, jalan cerita dan keadaan sekeliling, dalam satu hidangan yang akan berhasil meninggikan darjat kesedaran, pemikiran dan perjuangan ke arah yang murni" (Syed Hussein al-Atas, 1979: 91-92).

Sesungguhnya belenggu feudalisme yang disebutkan oleh Syed Hussein al-Atas ini merujuk kepada feudalisme dalam bidang ilmu itu sendiri. Adalah sangat menarik, saudara kepada al-Marhum Syed Hussein al-Atas iaitu sarjana besar tanahair, Profesor Syed Naguib al-Attas (1979: 1-5), hampir setahun sebelumnya telah pun mengusulkan hal yang hampir sama di pentas antarabangsa.

Dalam tulisannya yang bernas, Profesor Syed Naguib al-Attas (1980) menyatakan pengajian fardu ain yang diterapkan dalam pendidikan Islam sebagai contoh haruslah membawa sama sentuhan Syiah (dan tentu sahaja Sunni). Beliau menyatakan pendidikan yang beliau maksudkan itu bukan sahaja di peringkat tinggi, iaitu universiti, tetapi juga mencakupi dunia pendidikan anak-anak di peringkat sekolah rendah. Sebagai bukti, tulisan beliau dirujuk di sini:

" The core knowledge representing the fardu ‘ayn, integrated and composed as a harmonius unity at the university level as a model structure for the lower levels, and which must invariably be reflected in successively simpler forms at the pre-university, secondary, and primary levels of the educational system thoughout the Muslim world, must reflect not only the Sunni understanding of it, but also accomodate the Shi'i interpretation." (Syed Naguib al-Attas, 1980: 42).

Pandangan (mungkin kata yang lebih tepat ialah impian) beliau di atas membawa kesan positif yang besar tentunya jika dipraktikkan untuk generasi Muslim yang ada. Malangnya, menurut kajian Ahmad Fauzi Abdul Hamid (2010) gagasan murni Profesor Syed Naguib itu diketepikan malah tidak pun diperhitungkan sama sekali oleh pihak berkuasa negara ini demi menjaga status-quo pemerintah:

"The ideal form and practice of an Islamic curriculum, as conceived for instance by Syed Naguib Al-Attas, remains far-fetched in state-sanctioned Islamic education in Malaysia. The outcome in terms of enforcement of narrowly interpreted religious law against Muslim non-conformists is all too obvious in Malaysia. Whereas Al-Attas' scheme was broad enough to accommodate even Shi'a interpretations of the revealed sciences, Malaysia has been fastidious in instituting pre-emptive action against and punishment of Malay-Muslims who profess the Shi'a variant of Islamic faith deemed to have deviated from the path of Sunni orthodoxy." (Ahmad Fauzi Abdul Hamid, 2010: 52).

Pendita Za'ba jauh terdahulu dari tokoh-tokoh yang telah saya sebutkan tadi telah mencadangkan rumus supra mazhab atau heterosektual ini, iaitu dengan menggunakan akal fikiran yang sihat, dan tidak bertaklid buta. Dalam tulisan beliau di Qalam bilangan 31 bulan Februari 1953, Pendita Za'ba menolak sama sekali apa yang beliau namakan sebagai ‘taklid buta':

"Demikian lagi pada pihak usul (akidah) dan tasawuf: Kita lihat Hasan al Basri, Abu Hassan al-Asyaari, Imam al Harmin, al Ghazali dan lain-lain, semuanya itu daripada orang yang bebas dan merdeka memakai fikiran dan timbangan mereka sendiri pada masing-masing cawangannya, di bawah suluhan ilmu dan akal mereka sendiri masing-masing. Tiap-tiap seseorangnya itu bersendiri memahamkan dan menguji segala pegangan-pegangan agama yang diterima atau ditolaknya. Mana-mana masalah yang telah sedia diputuskan oleh orang lain dahulu daripadanya maka diperiksanya dan ditimbangkannya semula. Kalau munasabah pada pendapatnya sendiri maka diterimanya, kalau tidak maka ia sendiri ada jalan lain memahamkannya dengan fahaman yang lain pula. Maka dengan demikianlah telah terjadi pada bahagian usul bermacam-macam mazhab dan pembawaan pula seperti mazhab Jabariah, mazhab Qadariah, mazhab Muktazilah, mazhab Ahli al Sunnah, Mazhab Kharajiah, Mazhab Zaidiah, Mazhab Amamiah, Mazhab Abadiyah dan lain-lain lagi. Dan pada bahagian tasawuf kita dapati berbagai-bagai cara tarekat seperti Qadariah, Naksyibandiah, Satariah, Samaniah, Muhammadiah, Ahmadiah dan lain-lain pula. Akan sebabnya terjadi sekalian itu, baik pada usul atau pada fikah atau pada tasawuf, ialah oleh kerana pendeta-pendeta agama kita pada masing-masing zamannya dahulu itu tidak hanya bertaklid kepada pendapat orang lain sahaja, melainkan masing-masing tahu mengambil fahaman bersendiri dan menerbitkan pendapat sendiri daripada punca-punca yang diberi di dalam Quran dan sunah itu." (Za'ba, 2009: 138)

Bersambung


NONE DR MOHD FAIZAL MUSA atau nama penanya Faisal Tehrani bertugas sebagai felo penyelidik di Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya melambangkan pendirian rasmi Malaysiakini.