Ibu MP Balik Pulau dipukul, dirompak RM30,000

   

Ibu kepada anggota Parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusoff cedera akibat dipukul sebelum dirompak barangan kemas dan wang tunai berjumlah lebih RM30,000 awal pagi ini.  

    

Mangsa, Fatimah Ahmad, 73, berkata pada kejadian pukul 4 pagi itu, seorang lelaki bertopeng telah memecah masuk ke dalam rumahnya di Jalan Baru di Balik Pulau ketika beliau sedang nyenyak tidur.

    

Katanya, beliau yang tinggal berseorangan dalam rumah itu dikejutkan oleh suspek dan memintanya menyerahkan barang berharga sambil mengacukan sebilah pisau lipat.

    

"Dari loghat percakapannya (perompak), dia orang sini (Pulau Pinang)... dia ugut hendak bunuh, tengok sahaja kilatan pisaunya, saya terus serahkan rantai emas, gelang tangan dan dua bentuk cincin yang dipakai berharga kira-kira RM30,000," katanya kepada pemberita.

    

Beliau berkata, tidak berpuas hati dengan barangan kemas itu, perompak terbabit juga memukulnya sehingga mata kirinya lebam dan bengkak sebelum lelaki itu melarikan beg tangan berisi wang RM4,000.

    

Fatimah kemudiannya menghubungi anaknya yang tinggal berhampiran untuk dibawa ke Hospital Balik Pulau sebelum membuat laporan polis.

Beliau bagaimanapun diberi rawatan pesakit luar dan keadaannya dilaporkan stabil.

    

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Supt Hatta Md Zin ketika dihubungi berkata polis menerima laporan pada pukul 6.40 pagi dan sedang mengesan perompak terbabit.

    

"Polis percaya perompak itu bertindak bersendirian dan telah lama memerhatikan mangsa," katanya ketika dihubungi.

Katanya hujan lebat memudahkan perompak itu memecah masuk rumah mangsa melalui tingkap hadapan tanpa disedari jiran.

Hatta berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda serta sebat, jika sabit kesalahan.

- Bernama

Malaysiakini
terkini untuk anda