Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini tampil menjelaskan dakwaan kewujudan “kad pengenalan kitar semula di Sabah”, sebulan selepas perkara itu dibangkitkan oleh seorang penganalisis politik.
Seorang pegawai teknologi maklumat SPR yang enggan dinamakan menjelaskan, perkara itu timbul kerana kedua-dua pengundi tersebut menggunakan nombor kad pengenalan lama yang sama.
Pengarah Projek Analisis Daftar Pemilih Malaysia (Merap) Ong Kian Ming pada bulan lalu mendedakah kes melibatkan dua pengundi berkenaan yang disingkirkan daripada daftar pemilih selepas nombor kad pengenalan itu "diberikan" kepada individu lain.
Merap mengemukakan statistik dan bukti berhubung ketidakaturan dalam datar pemilih sebagai sokongan kepada Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0).
Beliau mengemukakan kes melibatkan pengundi, Badariah Zabdi (nombor kad pengenalan baru: 610911125540, nombor lama H0509518) yang didaftarkan di Tawai pada dalam daftar pemilih untuk pilihan raya umum 2008.
Dalam daftar pemilih untuk suku ketiga 2011, nombor MyKad Badariah ditukarkan kepada 620112125842, namun tarikh lahirnya di dalam rekod SPR kekal seperti dalam kad pengenalan lama, pada 11 September 1961.
Bagaimanapun, semakan terakhir dalam pengkalan data SPR menunjukka bahawa nombor kad pengenalan itu – 620112125842/H0509518 – kini dimiliki Norhayati binti Ismail, dengan tarikh lahir 12 Januari 1962.
Pegawai SPR itu memberitahu Malaysiakini bahawa siasatan SPR menunjukka bahawa Norhayati mendaftar menggunakan nombor kad pengenalan lama H0509518 pada 1991, manakala Badariah mendaftar sebagai pengundi pada 1998 menggunakan nombor MyKad baru 610911-12-5540 dan nombor kad pengenalan lama H0509518.
