Mulai hujung tahun ini, pelajar Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaaan (Aswara) boleh memohon pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bagi membiayai pengajian mereka di akademi berkenaan.
Rektor Aswara Profesor Dr Mohamad Hatta Azad Khan berkata PTPTN akan menyambung kembali kemudahan itu hasil beberapa siri pertemuan agensi tersebut dengan pengurusan Aswara pada Jun lepas.
"Kini PTPTN di dalam proses peringkat akhir bagi meminda Akta PTPTN (Akta 566) untuk membolehkan pelajar Aswara menerima kemudahan pinjaman PTPTN yang dijangka dapat diselesaikan sebelum akhir tahun ini," katanya kepada Bernama di Majlis Ramah Mesra Ibu bapa/Penjaga dan Pelajar Baru Sesi Akademik 2012/2013 semalam.
Sejumlah 269 pelajar baru terdiri daripada 164 pelajar peringkat Diploma dan 105 pelajar Ijazah yang merangkumi bidang pengajian muzik, teater, tari, penulisan, filem dan video, seni halus serta animasi dan multimedia.
Sebelum ini, sebuah akhbar tempatan menyiarkan keluhan bapa seorang pelajar Aswara yang kecewa PTPTN tidak menawarkan kemudahan pinjaman kepada penuntut akademi itu.
Mohamad Hatta berkata PTPTN tidak dapat menyediakan kemudahan pembiayaan kepada pelajar Aswara kerana institusi pengajian itu ditubuhkan melalui Akta Akademi Seni Budaya Dan Warisan Kebangsaan 2006 (Akta 653) dan terkeluar daripada takrif IPT di bawah Akta PTPTN.
"Sebelum ini, pelajar Aswara pernah menikmati kemudahan pinjaman PTPTN tetapi ia diberhentikan kerana Aswara bertukar nama daripada Akademi Seni Kebangsaan (ASK) kepada Aswara pada 2006.
"Kelayakan dan kemudahan pinjaman (PTPTN) tersebut hilang secara teknikal apabila mengguna pakai Akta 653," katanya.
Mohamad Hatta berkata pihaknya maklum dan sentiasa mengambil berat akan kebajikan pelajar Aswara, terutama yang datang daripada keluarga kurang berkemampuan.
- Bernama
