Bagi bukan anak jati Johor, pertama kali mendengar 'botok-botok' yang terlintas di minda ialah: "Huh? Botox ke?". (Botox ialah suntikan yang lazim dikaitkan dengan kecantikan)
Namun, hakikatnya jauh panggang dari api kerana botok-botok yang dimaksudkan ialah sejenis makanan tradisi masyarakat Jawa di negeri ini dan hanya diperoleh ketika bulan Ramadan.
Seorang peniaga botok-botok di sini, Abdul Rahman Abdul Azizi berkata juadah itu berupa isi ikan tenggiri yang dicampur dengan pelbagai jenis ulam.
"Hampir keseluruhan kandungan di dalam sebungkus botok-botok adalah dedaun yang berkhasiat dan membekalkan serat untuk memudahkan sistem penghadaman.
"Ia merupakan campuran isi ikan tenggiri, kerisik dan ulam seperti daun pucuk ubi, daun betik, mengkudu, semangkuk, ulam raja, bebuas serta selasih yang kemudian dikukus di dalam daun pisang selama 30 minit," katanya kepada Bernama ketika ditemui di Bazar Ramadan Taman Suria di Johor Baharu.
Abdul Rahman, 59, yang berasal dari Batu Pahat berkata beliau mula menjual juadah itu sejak dua tahun lepas di dua bazar Ramadan iaitu di Taman Suria dan Kampung Melayu Majidee dengan dibantu anak perempuannya.
"Setiap hari saya hasilkan 100 bungkus botok-botok yang dijual dengan harga RM6.50 sebungkus dan Alhamdulillah sambutan amat mengalakkan. Setiap hari makanan yang saya hasilkan ini memang habis dijual," katanya.
Untuk memastikan kesegaran bahan yang digunakan, ulam-ulam itu dibeli setiap hari dari pasar berhampiran selain bekalan daun semangkuk, daun bebuas dan daun mengkudu yang ditanam oleh rakannya.
Katanya proses penyediaan pula bermula seawal 7 pagi dengan proses memasak kerisik sehinggalah mengukus botok-botok yang telah siap dicampur dengan pelbagai bahan tadi termasuk isi ikan.
Aroma yang dihasilkan daripada pelbagai ulam itu memang harum dan sesiapa yang merasai makanan ini kali pertama pasti akan datang untuk kali kedua, katanya.
-Bernama
