BERITA

Rafizi: Kereta Proton tetap lebih murah tanpa duti eksais

Ahmad Fadli KC

Diterbitkan
Dikemaskini 27 Jul 2012, 10:12 pagi

Pengarah strategi PKR Rafizi Ramli berkata kereta buatan nasional akan tetap lebih murah berbanding kereta import sekiranya cadangan Pakatan Rakyat untuk menghapuskan duti eksais dilaksanakan.

Menurut Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli, duti eksais adalah cukai menyeluruh yang dikenakan ke atas sekumpulan barangan tanpa mengira ia dihasilkan di dalam atau di luar negeri - seperti yang dikenakan ke atas produk arak.

NONE Oleh itu, penurunan harga kesemua kereta sama ada model tempatan atau kereta import akan berkadar terus dengan jumlah cukai yang dihapuskan, jelasnya.

"Jika Proton dah ada kelebihan harga (murah) berbanding kereta Honda, kelebihan harga itu tetap akan ada di sana.

"Maka, harga Proton dan Perodua masih kekal rendah di pasaran," kata Rafizi pada sidang media di ibu pejabat PKR tengah hari tadi.

Rafizi turut mengulas pandangan yang disuarakan ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin bahawa rancangan tersebut akan mengancam pengeluar kereta nasional Proton.

Katanya, pandangan seperti itu menunjukkan bahawa pemimpin Umno tidak dapat membezakan di antara cukai eksais dan cukai import kereta.

proton gen 2 sedan 270707 front "Mereka tertukar antara duti eksais dan duti import.

"Mereka juga tidak perasan, pada tahun 2005 cukai import (dikurang dan) diganti dengan duti eksais," kata Rafizi.

Menurutnya lagi, penghapusan duti eksais itu akan menyebabkan harga kereta tempatan turun kepada RM30,000 sahaja.

"Saya nak tunjuk betapa tidak adilnya cukai sekarang yang mencukai golongan miskin yang beli Proton dan Perodua.

"Kami percaya rakyat beli kereta bukan untuk bermewah-mewah.

"Ini mengukuhkan pendirian PKR, rombakan cukai ini penting untuk tambah pendapatan boleh guna dan kurangkan bebanan (hutang) rakyat," kata Rafizi.

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.