BERITA

Hairie Othman belum rancang bertanding p'raya

Ahmad Fadli KC

Diterbitkan
Dikemaskini 31 Jul 2012, 10:33 pagi

Pelakon Hairie Othman yang baru sahaja menyertai PAS tidak menolak kemungkinan bertanding dalam pilihan raya umum akan datang jika dicalonkan.

Hairie ketika dihubungi Malaysiakini bagaimanapun menegaskan bahawa beliau sendiri sendiri belum merancang untuk berbuat demikian buat masa ini.

"Itu saya saya tidak menolak (kemungkinan akan dicalonkan). Tetapi buat masa ini saya masih belum memikirkan ke arah itu. Saya anggap diri saya ini sebagai aktivis parti sahaja," kata Hairie.

NONE Ura-ura itu timbul apabila beliau dilihat semakin rancak berceramah di pentas PAS selepas menyertai parti itu secara rasmi akhir Jun lalu.

Mengulas lanjut, Hairie berkata penyertaannya ke dalam PAS merupakan satu bentuk penghijrahan agama dan politik.

"Dua-dua sekali (hijrah agama dan politik), dan sejak masuk PAS ini saya banyak belajar tentang agama," kata Hairie.

Penyertaan golongan pelakon dan penyanyi ke dalam parti pembangkang merupakan sesuatu yang jarang berlaku sebelum ini.

Salah satu penyebabnya adalah tanggapan bahawa mereka yang berbuat demikian akan sukar mencari makan menerusi media massa perdana yang dilihat menyebelahi parti pemerintah.

Mengulas perkara itu, Hairie menegaskan yang beliau yakin rezekinya tetap akan terjamin walaupun bergiat aktif dengan PAS.

"Kita sentiasa boleh cari sumber rezeki yang lain," katanya.

Menurutnya lagi, sokongan terhadap Pakatan Rakyat di kalangan seniman dan selebriti tanah air juga semakin meningkat akhir-akhir ini.

Namun demikian tambahnya, ramai yang memilih untuk tidak menyatakan sokongan mereka secara terbuka kerana tidak mahu sumber pendapatan mereka terjejas.

"Kawan-kawan artis ada yang menyokong dan bersama Pakatan Rakyat secara senyap-senyap.

"Cuma kebanyakannya memilih untuk tidak menyuarakannya kerana masih mahu kekal dalam industri," kata Hairie.

Selain Hairie, turut menyertai PAS setakat ini ialah penyanyi Aishah, pelawak Bob Lokman, dan terbaru pelakon Abby Abadi ketika parti itu dilihat semakin rancak menerima keanggotaan dari selebriti dan bekas pegawai kanan kerajaan.

Penglibatan Hairie dalam bidang lakonan bermula menerusi filem pertamanya, Kad Cinta pada tahun 1995.

Popularitinya melonjak naik pada tahun 2000 selepas memegang watak Leftenan Adnan dalam filem dengan judul sama.

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.

Iklan