Akhbar Utusan Malaysi a hari ini memfokuskan masalah peniaga Melayu yang menghadapi kesukaran untuk menyertai perniagaan telefon bimbit yang didakwa dimonopoli oleh peniaga Cina.
Menurut laporan tersebut, tidak ramai peniaga bumiputera yang berjaya menembusi peluang dalam bidang jualan berkenaan, antara lainnya kerana tidak mampu mengeluarkan modal besar.
Peniaga yang ditemubual dalam laporan itu juga mendakwa wujud diskriminasi di antara peniaga Cina dan Melayu.
Seorang daripadanya, Mohd Zulhelmi Talib, 31 mendakwa stok produk baru hanya diberikan kepada peniaga tertentu dan stok itu pula perlu dibeli dengan tunai walau sesetengah peniaga lain mendapat kelonggaran.
Keadaan itu didakwa menyukarkan peniaga Melayu kerana hanya mereka yang bermodal tinggi sahaja boleh mendapat produk jualan dengan harga murah.
Seorang lagi peniaga berkata, terdapat pemilik kedai telefon bimbit yang didakwa membentuk monopoli dengan membuka beberapa kios di satu tempat dengan menggunakan nama berbeza.
Akhbar itu melaporkan bahawa tinjauan mereka menunjukkan hanya segelintir peniaga bumiputera berjaya membuka kedai di pusat membeli belah di seluruh negara.
Seorang peniaga di Kompleks Pertama yang dipetik dalam laporan itu berkata, mereka perlu menanggung kos sewa kedai yang mencecah RM9,000.
Peniaga berkenaan berkata, peniaga Melayu sukar bertahan dan terpaksa bergantung kepada pelanggan tetap untuk terus beroperasi di pusat membeli belah tersebut.
Tinjauan yang dijalankan akhbar berkenaan juga menunjukkan hanya dua kedai di Plaza Low Yat, Bukit Bintang yang dimiliki bumiputera daripada kira-kira 121 kedai menjual telefon bimbit di situ.
