Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PM: Projek awal rel pantai timur liputi Kertih-Kuantan
Diterbitkan:  Jul 31, 2012 6:35 PM
Dikemaskini: 11:00 AM

Kajian laksana laluan rel pantai timur Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kajian kebolehlaksanaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRR), yang merangkumi Pahang, Terengganu dan Kelantan kini siap dilaksanakan.

Perdana Menteri berkata ECRR itu akan dilaksanakan mengikut fasa, mulai Fasa 1, yang merangkumi landasan rel sejauh 109 km dari Kertih ke Kuantan.

Cadangan laluan sepanjang 600 km itu, dirancang menghubungkan Kuala Lumpur ke Tumpat di Kelantan, melalui Mentakab, Kuantan, Kuala Terengganu dan Kota Bharu.

"Projek ECRR ini akan mempunyai kesan yang signifikan dari segi meningkatkan kesalinghubungan antara ECER dan pantai barat Semenanjung Malaysia dan mempercepatkan lagi pertumbuhan ekonomi kawasan di Wilayah ini," katanya dalam satu kenyataan.

Najib, yang juga Pengerusi Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), sebelum itu mempengerusikan mesyuarat majlis kedua ECERDC bagi tahun ini di Kuala Lumpur hari ini.

Perdana Menteri berkata Fasa 1 ECRR akan membantu memperbaiki rangkaian hubungan antara pelbagai kawasan perindustrian di Zon Ekonomi Khas ECER (ECER SEZ), seperti Taman Halal Gambang, Taman Pembaikan Bot dan Pangkalan Bekalan Kemaman, Kompleks Petrokimia Bersepadu Gebeng, Taman Automotif Pekan, Kelompok Industri Minyak Sawit, dengan Pelabuhan Kuantan, sekaligus membantu meningkatkan daya saing pelabuhan tersebut.

"Sistem rel yang dicadangkan untuk wilayah Pantai Timur ini juga berupaya merangsang pelaburan di ECER kerana pelabur dapat mengurangkan kos perniagaan melalui penggunaan mod pengangkutan yang lebih efektif dari segi kos dan kecekapan, yang juga bersifat mesra alam sekitar," kata Perdana Menteri.

Beliau juga Menteri Kewangan.

Menurut laporan berita, kajian kebolehlaksanaan ECRR itu bermula pada 2009.

- Bernama

ADS