Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP) Datuk VK Liew menyatakan Parlimen merupakan tempat terbaik untuk membangkitkan isu-isu termasuk masalah yang dihadapi di Sabah, menyatakan "jika dilakukan secara efektif, banyak isu boleh diselesaikan".
Mengulas pembatalan pelantikan Datuk Seri Lajim Ukin sebagai timbalan menteri perumahan dan kerajaan tempatan berkuatkuasa semalam dan tindakan Timbalan Presiden Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko) Datuk Seri Wilfred Bumburing keluar dari BN, beliau berkata:
"Sekarang, setelah apa yang dikatakan dan dilakukan, kita hanya perlu meneruskan perjuangan BN tanpa mereka.
"Saya kenal mereka kerana kami semua adalah anggota Parlimen dan seorang daripada mereka ialah rakan saya dalam pentadbiran persekutuan sebagai timbalan menteri dan mereka tahu bahawa Parliamen ialah tempat terbaik untuk menyuarakan sebarang masalah.
"Apapun, kita hanya boleh mendoakan yang terbaik buat mereka di tempat yang baru dengan kumpulan baharu dan tuan yang baharu yang mempunyai rekod sanggup berjanji apa sahaja asalkan beliau dapat ke Putrajaya," katanya dalam kenyataan di Kota Kinabalu semalam.
Kenyataan Pejabat Perdana Menteri semalam menyatakan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah telah memberi perkenan terhadap pembatalan pelantikan Lajim.
Ia adalah mengikut peruntukan Fasal (3) Perkara 43A yang dibaca bersama Fasal (5) Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan.
Pada Sabtu, Lajim, 57, meletakkan jawatan sebagai anggota Majlis Tertinggi Umno dan Ketua Umno Bahagian Beaufort dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Beaufort berkuat kuasa serta merta, dan mengumumkan akan menubuhkan Pakatan Perubahan Sabah (PPS) atau Sabah Reform Party.
Liew berkata BN perlu mengambil perhatian serius terhadap yang berlaku dan perlu berdepan dengan apa juga isu yang akan timbul.
"Saya percaya pucuk pimpinan BN Sabah sedang melakukan yang terbaik di dalam keadaan sekarang," katanya.
Sementara itu, Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) Tan Sri Joseph Kurup berkata prinsip diguna pakai bagi pelantikan Lajim ialah berdasarkan kekuatannya dalam memberikan sokongan kepada Umno dan BN.
"Oleh kerana beliau telah tidak lagi memberikan sokongan untuk mewajarkan pelantikannya itu dan beliau tidak meletakkan jawatan sebagaimana yang sepatutnya beliau lakukan berikutan tindakannya itu, perdana menteri berhak untuk mengambil tindakan untuk membatalkan pelantikannya.
"Persoalan pemecatan tidak timbul," katanya.
- Bernama
