Malaysiakini
BERITA Malaysiakini

'Rais seperti alihkan tanggungjawab pada panel'

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Penubuhan panel siasatan bagi menyiasat dakwaan ciplak melibatkan lagu kemerdekaan memberikan gambaran seolah-orang menteri berkenaan cuba mengalihkan tanggungjawabnya, kata PKR.

Naib presidennya Nurul Izzah Anwar berkata, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim sepatutnya mengesahkan sendiri sama kesahihan dakwaan itu.

NONE "Saya lebih suka kalau beliau (Rais) sendiri sahkan atau tidakkan pilihan (lagu) tersebut.

"Kepada beliau, saya ucapkan selamat maju jayalah," kata Izzah sinis.

Rais terlibat menulis lirik untuk lagu gubahan Jasnie Mohd Yaakub itu.

Rais semalam mengumumkan satu panel akan ditubuhkan untuk mengkaji lagu " Janji Ditepati" yang didakwa disadur dari lagu gereja di Indonesia.

Tubuh Kelab Mahasiswa PKR

Sebelum ini, Rais turut menarik balik logo sambutan 55 tahun kemerdekaan yang dikritik ramai kerana tidak menarik dan kelihatan seperti dibuat secara sambil lewa.

Nurul Izzah juga berkata, kontroversi demi kontroversi melanda lagu itu "amat memalukan" memandangkan Rais seorang menteri yang berpengalaman.

NONE "Ia agak mengecewakan apabila satu demi satu perkara sebegini berlaku," katanya di ibu pejabat PKR tengah hari tadi.

Sebelum itu, beliau merasmikan penubuhan Kelab Mahasiswa PKR yang menurutnya mampu merapatkan hubungan PKR dan mahasiswa.

Wakil kelab itu, Ahmad Bakhtiar Amir Zaimi berkata penubuhannya bertujuan menghimpunkan mahasiswa untuk mendokong hala tuju PKR tanpa perlu menjadi ahli parti secara langsung.

Pelajar kejuruteraan kimia itu berkata, kelab itu akan turut memperluaskan capaiannya kepada mahasiswa luar negara secara berperingkat-peringkat.