Kerajaan diminta menjadikan sastera Melayu sebagai subjek teras di peringkat menengah dalam usaha menangkis tanggapan bahawa mata pelajaran itu tidak penting.
Pensyarah Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Prof Madya Dr Abdul Halim Ali berkata mata pelajaran sastera Melayu yang kini kurang mendapat sambutan di kalangan pelajar, perlu diberi perhatian serius dalam memastikan ia tidak dianggap sebagai mata pelajaran kelas kedua.
"Semasa saya lakukan penilaian di beberapa sekolah, jumlah pelajar yang mengambil subjek sastera tidak mencapai separuh dan ini satu perkembangan yang amat tidak baik untuk sistem pendidikan negara.
"Lebih menyedihkan apabila sastera juga tidak diberi tempat khas untuk dipelajari sedangkan ia melambangkan peradaban bangsa Melayu dan tanah air kita," katanya kepada Bernama ketika ditemui baru-baru ini.
Mengenai sikap pelajar kini yang dilihat tidak menunjukkan minat mempelajari mata pelajaran itu, beliau berkata ia ekoran tanggapan tiada nilai ekonomi dalam sastera.
"Sastera disifatkan mata pelajaran hanya untuk pelajar yang lemah selain mereka (pelajar) beranggapan tiada nilai ekonomi dan kerjaya dalam subjek itu," katanya.
Beliau berkata sebanyak 59 sekolah berasrama penuh di seluruh negara tidak mempromosikan sastera kepada pelajarnya, sebaliknya terlalu memfokuskan kepada penguasaan sains dan teknologi semata-mata.
"Memang sains dan teknologi itu penting tetapi penguasaan itu tidak lengkap jika konteks peradaban ditinggalkan dengan entiti pelajar itu kosong dan tiada nilai dalam usaha memartabatkan peradaban negara," katanya.
Beliau berkata hanya sekolah integrasi dilihat cuba mengimbangkan peradaban dan sains kemanusian yang sepatutnya dicontohi dan menjadi pelan tetap untuk Dialog Nasional Pendidikan Negara.
- Bernama
