BERITA

NGO salahkan polis isu tunjuk punggung

Zulaikha Zulkifli

Diterbitkan
Dikemaskini 8 Sep 2012, 5:49 pagi

Sekumpulan NGO hari ini menyalahkan pihak polis berhubung insiden kontroversi seorang pelajar kolej swasta menunjuk punggungnya ke arah gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak dan Rosmah Mansor.

Wakil NGO daripada Pertubuhan Kebajikan Hak Rakyar Rakyat (Power), S Gobi Krishnan berkata, pelajar itu bertindak sedemikian disebabkan tiada tindakan yang diambil oleh pihak berkuasa apabila gambar beberapa orang pemimpin Pakatan Rakyat dipijak sebelum ini.

"Kami merasakan pelajar itu berbuat begitu sebab sebelum ini, jika mana-mana gambar pemimpin Pakatan yang dipijak tidak diambil tindakan, jadi dia fikir yang dia pun boleh buat juga.

"Sebab tidak akan ada apa-apa tindakan yang diambil," kata Gobi kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum kepada pihak polis di Bukit Aman hari ini.

Terdahulu, Power bersama Angkatan Warga Aman Nasional (Warga Aman) serta 20 menghantar memorandum mendesak polis supaya mengambil tindakan terhadap perbuatan individu yang memijak gambar Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng sebelum ini dan beberapa pimpinan lain Pakatan.

"Ambil tindakan kepada mereka yang pijak gambar pemimpin Pakatan sebelum ini. Kami juga mahu supaya pelajar yang menunjukkan punggung itu tidak diambil apa-apa tindakan," kata Gobi sambil memberi 48 jam kepada pihak polis untuk mengambil tindakan.

Sebelum ini, Lim selalu menjadi mangsa demonstrasi walaupun dalam tempoh pemerintahan singkat, antaranya posternya dibakar dan dipijak, dihadiahkan kek berbentuk najis dan upacara kematian olok-olok di hadapan rumahnya.

Selain itu, terdapat juga gambar yang menyaksikan gambar kain rentang digantung di Shah Alam menunjukkan kedua-dua pemimpin kanan PAS ini dikencing dengan jelas.

Pada malam Janji Demokrasi 30 Ogos lalu, seorang pelajar melondehkan seluarnya dan menunjukkan punggung ke arah gambar Najib dan Rosmah.

Berhubung insiden itu, pelajar tersebut telah disoal siasat dan dibuang oleh kolej tempatnya melanjutkan pelajaran.

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.