Pemuda PAS Johor mendakwa wujud percanggahan dalam penjelasan polis berhubung kematian seorang pemandu lori, P Chandran yang meninggal dunia dalam lokap ibu pejabat polis Dang Wang pada Isnin lalu.
Ketua pergerakan itu, Suhaizan Kaiat berkata, percanggahan itu melibatkan waktu kematian Chandran dan juga sebab kematian mendiang.
Katanya, keluarga mendiang dimaklumkan mengenai kematian itu pada jam 10 malam, namun rekod menunjukkan Chandran, 47, meninggal dunia pada jam 11.55 malam.
"Persoalannya, mengapa polis telah memaklumkan kematiannya sedangkan mengikut daftar kematian, Chandran belum meninggal pada waktu tersebut?," soalnya.
Beliau juga berkata, adik P Gunalan mendakwa terdapat luka di dahi dan rusuk badan si mati.
"Keluarga tidak mengetahui dengan jelas punca luka tersebut," kata Suhaizan yang mahu perkara itu disiasat.
Katanya, Gunalan membuat satu laporan polis di balai polis Simpang Renggam semalam berhubung percanggahan waktu kematian Chandran.
Tambahnya, polis juga menyatakan bahawa kematian Chandran berpunca daripada sakit jantung, sedangkan rekod kematian menunjukkan mendiang meninggal dunia akibat darah tinggi.
"Keluarga si mati sudah memaklumkan bahawa Chandran menghidapi penyakit darah tinggi dan perlu mengambil ubat setiap hari.
"Pihak polis kata semua urusan dalam lokap di bawah pengawasannya. Malangnya Chandran didapati meninggal dunia dalam lokap polis," katanya (kiri) .
Ketua polis daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad pada Selasa lalu dilaporkan berkata, kematian Chandran yang berpunca daripada sakit jantung.
Katanya perkara itu dikenalpasti berdasarkan bedah siasat yang dijalankan di Hospital Kuala Lumpur.
Chandran ditemui mati pada 7.20 malam ketika anggota polis hendak mengejutnya dari tidur, katanya lagi seperti dipetik Bernama .
Lelaki itu ditahan pada 6 September kerana disyaki terlibat dalam kes culik kanak-kanak di Sungai Besi, katanya.
Pemandu lori itu meninggalkan seorang balu serta enam orang anak yang masih kecil.
