Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Malapetaka jika S'gor terus sekat Langat 2, kata 'pakar'

Seorang pakar pengurusan air hari ini memberi amaran bahawa Selangor pasti menghadapi krisis air yang serius sekiranya kerajaan negeri terus berdegil untuk menyekat pembinaan loji rawatan air Langat

2.

Dr Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri berkata menyediakan bekalan air terawat merupakan tanggungjawab paling utama kerajaan negeri dan loji Langat 2 merupakan satu-satunya alternatif yang boleh menjamin negeri berkenaan mampu menyediakan bekalan air mencukupi memandangkan semua loji rawatan air sedia ada, kini beroperasi melebihi kemampuan pengeluaran masing-masing.

"Sekiranya pelan alternatif ini tidak dilaksanakan, penduduk dan industri di Selangor tidak akan lagi mendapat bekalan air yang dirawat kerana kita sudah mencapai paras pengeluaran maksimum. Kita sudah sampai ke peringkat yang memerlukan kita mempunyai penyelesaian dan alternatif baru. Bagi jangka masa sederhana, Langat 2 merupakan satu-satunya penyelesaian yang kita ada," kata beliau dalam temu bual dengan Bernama .

Dr Zaharuddin Sani mengambil contoh "nasi lemak " untuk menjelaskan keadaan yang dihadapi sekarang. Kata beliau: "Sekiranya kita ada 500 bungkus nasi lemak dan orang yang ada juga 500 orang, maka jumlahnya memanglah mencukupi. Tapi, jika kita ada 500 bungkus dan orang yang ada pula 520 orang, maka jumlah nasi lemak yang kita ada ini tentulah tidak cukup."

Beliau juga tidak dapat menerima dasar air percuma yang dilaungkan kerajaan Selangor dan sebaliknya menggesa agar dasar itu dikaji semula kerana air merupakan aset penting bagi setiap negara dan tidak boleh lagi dianggap sesuatu yang murah, apatah lagi untuk diberi percuma.

Berikut petikan temu bual dengan beliau:

Bernama:  Bolehkah loji Langat 2 selesaikan semua masalah air di Selangor?

Zaharuddin:  Sekarang ini, jika kita tanya bolehkah Langat 2 selesaikan masalah air, jawapannya ialah "ya", kita memerlukan air yang dirawat. Berdasarkan permintaan yang begitu tinggi terhadap air ketika ini, kita memang memerlukan Langat 2 sebagai penyelesaiannya.

Bagaimanapun, penyelesaian ini sebenarnya hanya bersifat sementara. Saya katakan "sementara" kerana pada masa akan datang, walaupun kita membina empangan baru, ia tidak memadai jika kita mengamalkan pendekatan paling penting iaitu mendidik orang ramai supaya menggunakan air

secara berhemah.

Kita perlu melihat air sebagai aset yang amat bernilai untuk diberi dengan percuma. Secara perbandingan, satu liter air yang dibotolkan dan satu liter minyak, adalah lebih kurang sama harganya. Oleh itu, kita perlu hargai nilai air. Kenapa kita boleh pulihara minyak, tapi tidak boleh berbuat demikian bagi air?

Berbalik kepada soalan Langat 2, ya, ia sesuatu yang diperlukan. Pada waktu yang sama, ia perlu diiringi dengan usaha bersungguh-sungguh untuk menyedarkan pengguna tentang nilai sebenar air agar kita tidak perlu melaksanakan Langat 3.

Bernama: Jadi, ini bermakna dasar kerajaan Selangor memberi air secara percuma adalah sesuatu yang tidak bijak?

Zaharuddin: Tidak ada benda percuma di dunia ini dan air yang diberi adalah air yang dirawat. Air yang dirawat memerlukan kos untuk menghasilkannya.

Kos bererti wang. Jadi, jika kita beri air secara percuma, ertinya kita tidak menghargai nilai komoditi penting ini dan selalunya, orang tidak akan menghargai sesuatu yang mereka dapat dengan percuma.

Sekiranya kita naikkan tarif air seperti di Eropah, kita akan lihat pengguna benar-benar menghargai air melalui sikap mereka dalam penggunaannya kerana mereka melihat air sebagai aset yang amat penting.

Tetapi, jika air diberi secara tidak terhad di mana saja, lebih-lebih lagi secara percuma, orang akan lupa tentang nilainya. Oleh itu, langkah memberi air secara percuma perlu dikaji semula.

Bernama: Langat 2 merupakan satu cara penyelesaian, tapi ia belum dilaksanakan berikutan konflik yang tercetus antara kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan. Apakah kesannya nanti?

Zaharuddin: Kesannya ialah kita tidak akan dapat membekalkan dengan secukupnya air yang dirawat kepada pengguna, sedangkan, pada waktu yang sama, kita nyatakan bahawa kita memiliki sumber air yang mencukupi.

Hakikatnya, kita perlu pulihara sumber air. Kita tidak boleh mengharapkan kita akan punyai lebih banyak air esok, berbanding jumlah yang kita ada hari ini.

Kita perlu menghadapi kenyataan. Sekiranya kita ada sekian banyak air hari ini, kita perlu gunakannya secara berhemah dan sekiranya Langat 2 terus mengalami kebuntuan, maka kita perlu cari penyelesaian lain.

Bernama: Kemampuan sungai di Selangor yang menjadi sumber utama air mentah bagi loji rawatan dilaporkan sudah mencapai paras maksimum. Adakah ini akan menjejaskan bekalan air yang dirawat?

Zaharuddin: Memang benar, kini, kemampuannya sudah mencapai tahap maksimum. Untuk

merawat air, kita memerlukan bahan mentah, dan dalam kes ini iaitu air. Sekiranya tidak ada air, apakah yang hendak dirawat?

Oleh itu, apabila sungai dan empangan kita sudah mencapai kemampuan maksimum, kita perlu memikirkan alternatif baru.

Bernama: Anda katakan bahawa kajian menunjukkan setiap rakyat Malaysia menggunakan purata 310 liter air sehari, iaitu 145 liter lebih banyak daripada pengguna di negara lain. Boleh anda jelaskan secara lebih terperinci?

Zaharuddin: Kadarnya ialah 145 liter seorang. Sekiranya satu isi rumah mempunyai lima anggota, maka jumlahnya tentulah lima kali lebih banyak. Ini adalah hasil kajian Pertubuhan Bangsa Bersatu.

Tapi, di Malaysia, kadar pengunaan air terlalu banyak berlebihan daripada yang sepatutnya.

Bernama: Kerajaan Selangor berkata Langat 2 tidak perlu dilaksanakan kerana projek tebatan yang sedang dijalankan mampu memenuhi permintaan. Betulkah begitu?

Zaharuddin:  Kerajaan Selangor hanya membuat perancangan bersifat jangka pendek. Ia hanya melihat setakat 2014. Sebaliknya, perancangan yang dibuat kerajaan persekutuan adalah untuk jangka panjang, melebihi 20 tahun.

Langat 2 penting untuk tempoh sekarang. Mungkin, orang tidak nampak masalah air berada pada tahap kritikal ketika ini kerana ke mana saja kita pergi, air paip terus mengalir. Tapi, cuba bayangkan keadaan lima tahun dari sekarang. Adakah kita boleh nikmati kemewahan seperti ini?

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS