mk-logo
Berita
Umno P Pinang salahkan k'jaan negeri 'tiup kebencian'
Diterbitkan:  Sep 17, 2012 6:01 AM
Dikemaskini: 6:05 AM

Umno Pulau Pinang tidak menolak kemungkinan bahawa tindakan melampau peserta demonstrasi pro-BN, termasuk perbuatan khianat ke atas bas kempen PKR, berpunca daripada "kebencian yang ditiupkan kerajaan DAP".

Ketua Umno negeri, Datuk Zainal Abidin Osman dilaporkan Sinar Harian sebagai berkata, ketua menteri Lim Guan Eng sepatutnya "lebih peka, rasional dan tidak harus meniupkan kebencian terhadap parti lawan setiap hari".

"Apabila kebencian itu ditiup setiap hari, ia menimbulkan perasaan kebencian rakyat kepada Umno dan BN, pada tahap melepasi batasan sehingga penyokong bertindak baling cat.

"Pemimpin politik dinasihatkan supaya memberi tumpuan menceritakan polisi parti, matlamat perjuangan, rancangan-rancangan demi kebaikan rakyat, bukannya meniup kebencian kepada mana-mana pihak yang boleh mengundang kemarahan dalam kalangan penyokong," katanya seperti dipetik akhbar itu.

Zainal dalam laporan tersebut bagaimanapun tidak menjelaskan kenyataan oleh kerajaan DAP yang didakwa "meniup kebencian" tersebut, seperti yang didakwanya.

Bagaimanapun, Zainal tetap menggesa supaya serangan berkenaan dihentikan segera.

“Umno Pulau Pinang mengutuk sesiapa sahaja terlibat dalam perbuatan tidak bertanggungjawab ini. Tidak kira, individu dari kalangan penyokong parti memerintah, pembangkang atau pihak yang tidak ada kaitan dengan mana-mana parti.

“Saya minta  pihak polis menyiasat semua kes ini supaya tindakan sewajarnya diambil kepada pihak tidak bertanggungjawab ini,” katanya.

Lagi berita seperti ini :
Paling Popular
Terkini