Selaras dengan hasrat kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebuah hab pelancongan di rantau Asean, syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia Bhd, berpendapat kerajaan harus memperuntuk lebih banyak dana bagi Jabatan Penerbangan Awam Malaysia (DCA Malaysia) dalam Bajet 2013.
Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia, Aireen Omar, berkata, memandangkan perjalanan udara semakin menjadi pemacu yang amat penting bagi pelancongan negara ini, pertambahan dana bagi DCA Malaysia akan memperkukuh keupayaan jabatan itu dalam mengendalikan lalu lintas udara Malaysia yang semakin meningkat.
"Syarikat penerbangan dari Malaysia, antaranya AirAsia, membawa banyak lalulintas ke rantau ini dan Malaysia," katanya kepada Bernama dalam satu temubual.
Perdana Menteri, merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Tun Razak, dijadualkan membentangkan Bajet 2013 di Parlimen pada 28 September.
Aireen berkata juruterbang AirAsia menghadapi kesukaran dari segi kawalan lalulintas udara di lapangan-lapangan terbang Malaysia, dan isu ini menjadi semakin mendesak dengan pergerakan penerbangan yang sentiasa bertambah di lapangan-lapangan terbang itu semasa tempoh puncak.
Katanya, kerajaan harus mempertimbang untuk memperkenal satu sistem untuk memantau tempoh pendaratan kapal terbang berdasarkan syarikat-syarikat penerbangan untuk mengelakkan kelewatan, seperti apa yang berlaku di Singapura,
Indonesia dan Filipina.
"Kita tidak mahu perkara yang sama berlaku di Malaysia, dan barangkali, melalui sistem ini, kita boleh memastikan wujudnya industri penerbangan yang lancar dan cekap," katanya.
Malaysia mencatatkan 24.7 juta ketibaan pelancong tahun lepas dengan penerimaan berjumlah kira-kira RM58.3 bilion.
Bagi enam bulan pertama 2012, sejumlah 11.6 juta pelancong mengunjungi Malaysia, dan ini merupakan pertumbuhan sebanyak 2.4 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas.
Jumlah penerimaan pelancongan bagi enam bulan pertama tahun ini juga bertambah, dan menjana pendapatan sebanyak RM26.8 bilion, meningkat empat peratus berbanding tempoh yang sama pada 2011.
- Bernama
