BERITA

Arab Saudi tolak permohonan tambah kuota haji

Diterbitkan
Dikemaskini 19 Sep 2012, 2:59 tengahari

Arab Saudi menolak permintaan 40 negara untuk menambah kuota haji mereka tahun ini kerana projek-projek pembangunan sedang berjalan di di dua bandar suci Mekah dan Madinah, lapor akhbar-akhbar tempatan di negara itu hari ini.

"Kementerian memohon maaf kepada semua negara yang telah memohon untuk menambah bilangan jemaah mereka tahun ini... (kerana) projek-projek besar pembangunan di Mekah dan Madinah yang menjadikannya sukar untuk menampung jumlah yang lebih ramai," kata Menteri Haji Bandar al-Hajjar, lapor AFP.

Setiap negara Islam diberi kuota haji sebanyak 1,000 jemaah bagi setiap sejuta penduduk

Sistem kuota dikenakan selepas tindakan polis Arab Saudi untuk menghalang demonstrasi jemaah Iran mengadakan bantahan anti-Amerika dan anti-Israel pada tahun 1987, mencetuskan pertempuran di mana 402 orang terkorban, termasuk 275 rakyat Iran.

Tahun lepas, hampir tiga juta jemaah Islam mengerjakan haji yang merupakan satu perhimpunan tahunan terbesar di dunia.

Sebelum ini kerajaan Malaysia dilapor berusaha mendapatkan kuota tambahan untuk 10,000 jemaah, sekali gus mengurangkan jumlah yang keciciran pada tahun ini.

Kerajaan sebelum ini mengaitkan pengurangan kuota haji dengan demonstrasi BERSIH 3.0 di Makkah dan Madinah pada 26 April lalu.

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.