Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Raih dana untuk bantu Seacem, kata CEO Malaysiakini
Diterbitkan:  Sep 21, 2012 5:09 PM
Dikemaskini: 10:41 AM

Lamanweb berita independen Malaysiakini, meraih dana daripada penyumbang dana antarabangsa untuk menyokong Pusat Asia Tenggara bagi E-Media (Seacem) dan beberapa projek lain, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Premesh Chandran hari ini.

NONE Menurut Premesh, Malaysiakini menubuhkan Seacem pada tahun 2004 untuk membantu masyarakat sivil dan organisasi media dalam talian yang belum matang di Asia untuk menggunakan teknologi baru bagi menggalakkan kebebasan akhbar, hak asasi manusia dan demokrasi.

Sejak penubuhannya, Seacem telah membantu pembangunan

organisasi dari 15 negara - Nepal, Pakistan, Bangladesh, Sri Lanka, Mongolia, China, Hong Kong, Thailand, Myanmar, Filipina, Kemboja, Vietnam, Singapura, Indonesia dan Timor Timur.

Antara organisasi media yang telah Seacem bantu ialah laman berita Mizzima dan majalah Irrawaddy (kedua-duanya dari Burma), lamanweb Prachatai (Thailand), Mindanews (Mindanao),  VODHotnews (Kemboja) dan  Timornewsline (Timor Leste).

NONE "Seacem telah melatih organisasi berkenaan tentang bagaimana hendak membina lamanweb yang lebih baik, meningkatkan keselamatan dalam talian, menggunakan media sosial, membangunkan produk video dan bidang-bidang lain yang berkaitan dengan media baru," kata Premesh.

"Malaysiakini adalah lamanweb pertama seumpamanya di rantau ini dan Seacem adalah cara terbaik untuk kami berkongsikan kepakaran kami yang kami telah dibangunkan sejak 13 tahun lalu,"  tambah Premesh.

Beliau berkata untuk memudahkan pembelajaran, geran yang Seacem perolehi juga digunakan untuk menawarkan latihan kepada kakitangan dari organisasi-organisasi pelanggan ini untuk meluangkan masa selama beberapa bulan di pejabat Malaysiakini di Kuala Lumpur.

Portal hak asasi manusia serantau

azlan Seacem juga telah membina sebuah portal hak asasi manusia

bagi sekumpulan organisasi serantau utama, di mana Suaram merupakan rakan kongsi dari Malaysia .

Premesh menjawab laporan media mengenai kontroversi berkaitan pembiayaan dana yang disediakan oleh National Endowment for Democracy  (NED) yang beribupejabat di Washington kepada kumpulan hak asasi manusia Suaram dan pelbagai kumpulan lain di Malaysia, termasuk Malaysiakini.

Beliau berkata, Malaysiakini menerima geran bukan sahaja daripada NED tetapi juga dari penyumbang-penyumbang dana antarabangsa yang lain untuk menyokong projek-projek khas yang dijalankannya.

Selain daripada Seacem, geran itu membantu Malaysiakini membina sebuah pasukan 300 wartawan masyarakat dari seluruh negara dan mewujudkan laman-laman maklumat seperti Undi.info dan digitalibrary.my .

"Kami gembira dapat bekerjasama dengan yayasan antarabangsa dalam projek-projek yang menarik yang menggalakkan kebebasan akhbar. Kami telus mengenai perkongsian seumpama itu. Geran-geran ini menjadi sebahagian kecil daripada bajet Malaysiakini. "

             

Pembiayaan mandiri

Walaupun meraih geran daripada penyumbang dana antarabangsa, tetapi Premesh menegaskan bahawa Malaysiakini berpegang kuat mempertahankan kebebasan editorial dan ia menjadi salah satu nilai teras utama lamanweb tersebut.

NONE "Kami amat percaya bahawa tanpa pembiayaan mandiri, maka tidak akan ada kebebasan editorial.

"Untuk mengekalkan ini, Malaysiakini mestilah bebas dari segi kewangan daripada kerajaan, pengiklan, penderma serta parti-parti politik.

"Itulah sebabnya sehingga ke hari ini, Malaysiakini di segi majoritinya (70 peratus), masih dimiliki oleh pengasasnya dan kakitangannya. Kami juga meminta pembaca kami membayar yuran langganan supaya sebahagian daripada pendapatan itu,  datang daripada pembaca, serta melalui pengiklanan."

Premesh menegaskan bahawa Malaysiakini akan kekal berpegang teguh mempertahankan kebebasan editorial, dan akan terus bekerjasama dengan rakan-rakan kongsi yang sehaluan dalam projek-projek yang menggalakkan kebebasan akhbar.

"Kami percaya bahawa kebebasan akhbar adalah amat penting untuk demokrasi. Ia adalah satu-satunya cara untuk memastikan kerajaan bertanggungjawab, membasmikan rasuah dan politik naungan," katanya.

ADS