Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Saman malu terhadap ketua penerangan Wanita Umno diteruskan
Diterbitkan:  Sep 21, 2012 7:02 PM
Dikemaskini: 11:07 AM

Mahkamah Rayuan Putrajaya memutuskan hari ini bahawa perbicaraan saman malu terhadap Ketua Penerangan Wanita Umno, Datuk Hamidah Osman kerana menyiar dalam tulisan blognya gambar 'superimposed' Anggota Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad, berpakaian jubah seperti seorang paderi, diteruskan untuk dibicarakan di Mahkamah Tinggi.

Tiga anggota panel diketuai Hakim Datuk Ramly Ali sebulat suara menolak rayuan Hamidah supaya mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang tidak membenarkan permohonannya untuk membatalkan saman ke atasnya yang dibuat oleh Khalid.   

Hakim Ramly, yang bersidang bersama-sama Hakim Datuk Zaharah Ibrahim dan Hakim Anantham Kasinater, juga memerintahkan Hamidah membayar kos guaman RM5,000.    

Khalid, yang juga Pesuruhjaya PAS III memfailkan saman terhadap Hamidah tahun lepas berhubung penyiaran gambar 'super imposed' Anggota Parlimen itu yang disiarkan melalui blognya pada Januari 2010.

Dalam pernyataan tuntutannya, Khalid berkata gambar itu menunjukkan beliau seperti seorang padri Kristian dan seorang yang murtad.

Khalid menuntut ganti rugi yang tidak ditetapkan jumlahnya, relif dan kos lain yang ditentukan oleh mahkamah.

Pada 1 Jun tahun ini, Hamidah gagal dalam permohonannya di Mahkamah Tinggi Shah Alam untuk membatalkan saman malu tersebut.    

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Zainal Azman Ab Aziz memerintahkan kes itu dibicarakan sepenuhnya setelah tidak bersetuju dengan hujah peguam kepada Hamidah bahawa kes itu sepatutnya dibatalkan atas alasan ia sepatutnya didengar di Mahkamah Syariah dan bukan di mahkamah sivil kerana ia menyentuh isu kepercayaan.    

Hamidah, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Sungai Rapat, Perak, dalam pembelaannya berkata Khalid, sebagai seorang jurutera tidak memiliki hak menyebar atau mengajar ajaran Islam.

Hamidah diwakili oleh peguam Datuk Hafarizam Harun dan Khalid oleh

Azhana Mohd Khairudin.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS