Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kes saman fitnah Lynas dipindah ke mahkamah tinggi Kuantan

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan kumpulan Anti-Lynas 'Save Malaysia, Stop Lynas' (SMSL) untuk memindahkan saman fitnah yang difailkan oleh Lynas Corporation Limited dan Lynas Malaysia Sdn Bhd, ke Mahkamah Tinggi Kuantan.

    

Hakim Datuk John Louis O'Hara bersetuju dengan peguam defendan Datuk Bastian Pius Vendargon bahawa ia akan lebih memudahkan kelima-lima anak guamnya yang kini tinggal di Kuantan untuk menghadiri perbicaraan di sana.

    

Hakim O'Hara memutuskan bahawa mahkamah yang berpandukan Seksyen 23 Akta Kehakiman 1964 berhubung isu bidangkuasa dan isu forum paling sesuai dan membuat kesimpulan bahawa Mahkamah Tinggi Kuantan mempunyai bidang kuasa untuk mendengar saman fitnah.

    

Beliau tidak bersetuju dengan pendapat peguam plaintif, Rishwant Singh bahawa tindakan anak-anak guamnnya didorong oleh kenyataan bahawa hampir 45 peratus daripada 45 peratus orang yang melihat artikel berkenaan berada di Lembah Klang.

    

Beliau menolak permohonan lisan Rishwant menangguhkan pelaksanaan hukuman  sementara menunggu rayuan dan memaklumkan peguam berkenaan supaya memfailkan permohonan rasmi jika dia ingin meneruskan perkara itu.

    

Sebelum itu, dalam penghujahannya, Vendargon berkata ia terbukti menjadi sangat mahal dan tidak selesa bagi defendan-defendan dan penyokong mereka untuk menghadiri prosiding di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

    

Beliau berhujah bahawa setiap Mahkamah Tinggi Malaya mempunyai bidangkuasa serentak untuk mendengar prosiding tanpa mengira di mana tindakan itu berbangkit.

    

Pada 19 April lepas, Lynas Corporation of Sydney, Australia dan Lynas

Malaysia menyaman SMSL Sdn Bhd, dua pengarahnya, Tan Bun Teet dan Lim Sow Teow serta tiga sukarelawan iaitu Hang Chong Leung, Lee Chow Fong dan Ismail Abu Bakar, berhubung satu artikel memfitnah yang disiarkan blog kumpulan itu pada 22 Mac lepas.

    

Lynas memohon mahkamah memerintahkan defendan membuang artikel bertajuk 'Civil Society Organisations Joint Statement on Lynas Issue: SMSL Malaysian NGO statement Against Lynas' daripada blognya sehingga saman itu dilupuskan.

    

Pada 26 Julai lepas, Hakim O'Hara menolak permohonan Lynas untuk mendapatkan perintah injunksi dan memutuskan bahawa pada peringkat ini, mahkamah tidak boleh merumuskan sama ada artikel itu bersifat memfitnah atau sebaliknya, sehingga

mendengar keterangan pada perbicaraan penuh kes itu.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS