BERITA

'Soalan mengenai BERSIH tak ada masalah'

Zulaikha Zulkifli

Diterbitkan
Dikemaskini 27 Sep 2012, 9:51 pagi

Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Puad Zarkashi berkata, tidak ada masalah mengenai soalan tentang perhimpunan BERSIH 3.0 dalam peperiksaan percubaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini.

Menurut Puad, selagi soalan itu tidak melibatkan sensiviti perkauman, agama atau menghina mana-mana individu, ia boleh digunakan.

Bagaimanapun, Puad berkata, kementeriannya tidak mendapat sebarang aduan mengenai perkara itu dan menyerahkan kepada pihak sekolah untuk bertanggungjawab.

NONE "Saya tak dapat laporan tentang perkara itu. Soalan itu peperiksaan percubaan bukan dari kementerian. Ia dari sekolah. Kita pulangkan pada sekolah.

"Selagi tak berunsur sensiviti kaum, agama, atau menghina  individu, saya rasa (soalan) tak ada masalah.

"Terpulang kepada rakyat menentukannya," kata Puad kepada Malaysiakini semasa membuat lawatan di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil St Joseph, Sentul, di ibu negara hari ini.

'Bukan suruh sertai politik'

Baru-baru ini tersebar di laman Facebook mengenai soalan percubaan SPM sebuah sekolah di Johor Bahru yang mempunyai soalan berhubung perhimpunan BERSIH 3.0.

Soalan untuk subjek pendidikan moral itu juga mengandungi dua gambar semasa berlakunya perhimpunan tersebut pada 28 April lalu.

NONE Dengan merujuk kepada gambar yang diberi, soalan itu bertulis ''Adakah wajar atau tidak bagi seseorang warganegara itu untuk menyertai perhimpunan haram?''.

Sementara itu, ketika ditanya sama ada soalan tersebut akan memberi galakkan kepada pelajar untuk berpolitik, Puad berkata, ia tidak akan terjadi memandangkan soalan yang ditanya bukan berkisar kepada parti.

"Saya tak fikir soalan ini untuk galak pelajar berpolitik sebab saya rasa soalan ini bertujuan untuk mereka faham nilai-nilai baik, bukan politik.

"Bukan soalan itu sebut 'parti mana yang perlu disokong'. Soalan itu tanya wajar atau tidak dan bukan suruh pelajar sertai politik," kata Dr Puad lagi.

Bukan digubal kementerian

Sementara itu, rakan sejawatannya Datuk Dr Wee Ka Siong mengesahkan soalan berkenaan bukan digubal kementerian atau Lembaga Peperiksaan.

"Saya tidak tahu siapa buat spekulasi atau tetapkan soalan. Hakikatnya, sesiapa sahaja boleh merangka soalan dan menuding jari kepada kementerian," kata Wee ketika ditemui di bangunan Parlimen.

NONE Jelasnya, kementerian tidak dapat menyiasat atau bertindak ke atas tuduhan tidak berasas yang berlegar dalam Internet.

"Tak boleh (siasat) berdasarkan tuduhan dari sebarang orang. Jika ia datang drai agensi di bawah kementerian, kita akan siasat.

"Kita tak bolehlah hendak bertindak hanya kerana bahan ini ditemui di Internet. Kita kena siasat sama ada ia betul atau tidak," tegasnya.

Wee menjelaskan bahawa soalan percubaan berkenaan ditetapkan Jabatan Pelajaran Daerah setiap negeri dan bukan oleh kementeriannya.

Malaysiakini sedang mendapatkan reaksi daripada pihak pengurusan sekolah berkenaan.

Sementara itu, sebuah lagi gambar hampir serupa yang didakwa berlaku di sebuah sekolah di Segamat dikesan dimuatkan di Internet hari ini.

Soalan BERSIH dalam peperiksaan percubaan SPM'

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.