BERITA

'Hari Leher-V tak wajar, mentaliti tak serius'

Zulaikha Zulkifli

Diterbitkan
Dikemaskini 27 Sep 2012, 9:56 pagi

Penganjuran "Hari Leher-V" pada 1 Oktober ini yang dilihat cuba mempersendakan kerajaan tindakan tidak wajar dan menggambarkan mentaliti tidak serius, kata Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Dr Puad Zarkashi.

NONE "Bila mereka buat begini (anjur hari leher-v), (ia) tunjuk mentaliti mereka tidak melihat isu ini secara serius.

"Apa yang mereka buat tidak wajar," kata Dr Puad selepas sidang media semasa mengadakan lawatan di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil St Joseph, Sentul di ibu negara.

Portal antarabangsa progerakan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transeksual (LGBT) Gay Star News pada 17 September melaporkan, Hari Kolar-V kebangsaan akan diadakan pada 1 Oktober sebagai respons terhadap dakwaan kerajaan menyokong garis panduan kepada kelompok itu.

Selain aktivis, kempen itu dilaporkan disokong oleh seorang 'paderi gay' di Malaysia dan pengusaha restoran yang akan menghidangkan makanan percuma untuk lelaki yang memakai pakaian jenis itu di kedai mereka.

'Ada ke garis panduan gay?'

Ketika berita ini ditulis, dilaporkan hampir 2,800 orang sudah memberikan komitmen di laman sosial Facebook bahawa mereka akan turut serta dalam kempen itu.

Gay Star News merupakan laman berita 24 jam milik Gay Star News Ltd yang baru ditubuhkan. Ia dilihat bertujuan mempromosikan gaya hidup kelompok itu.

NONE Pada 13 September lalu, Sin Chew Daily melaporkan menteri pelajaran menyokong "garis panduan" kepada ibu bapa untuk mengenalpasti "simptom" gay dan lesbian pada anak mereka bagi mengambil langkah membetulkan keadaan.

Antara simptom itu, menurut harian berbahasa Cina itu, mempunyai badan sasa, suka menunjukkan aset di badan, memakai baju dengan leher-V.

Bercakap kepada Malaysiakini hari ini, Dr Puad bagaimanapun menafikan terdapat garis panduan gay dikeluarkan oleh kementeriannya.

"Mana ada garis panduan gay. Ada ke? Saya tanya NGO majlis PIBG (Persatuan Ibu Bapa dan Guru) mereka tak keluarkan garis panduan itu," katanya lagi.

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.