Malaysia mencatat aliran masuk bersih Pelaburan Langsung Asing (FDI) RM13.6 bilion dalam tempoh separuh pertama 2012 walaupun dalam ketidaktentuan persekitaran luar dan persaingan daripada negara membangun yang berkembang pesat, demikian menurut Laporan Ekonomi 2012/2013.
Menurutnya, jumlah tersebut adalah lebih rendah berbanding RM21 bilion yang dicatatkan dalam tempoh yang sama tahun lepas.
Sektor minyak dan gas adalah penyumbang utama FDI bersih iaitu 37.2 peratus diikuti sektor perkhidmatan (36.8 peratus) dan pembuatan (23.7 peratus).
Laporan Ekonomi 2012/2013 yang dikeluarkan Kementerian Kewangan menyatakan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida) telah meluluskan nilai pelaburan sektor pembuatan bernilai RM25.8 bilion dalam tempoh enam bulan pertama 2012 berbanding RM27.4 bilion pada tempoh yang sama tahun lepas.
Ia berkata bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini, Koridor Pembangunan Sabah (SDC) telah mendahului lima kawasan pertumbuhan ekonomi dan menarik pelaburan bernilai RM36 bilion untuk tempoh enam bulan dan RM9.5 bilion telah direalisasikan.
Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) menarik RM11.9 bilion pelaburan komited dengan RM1 bilion direalisasikan bagi tempoh yang sama, manakala Iskandar Malaysia mendapat RM10.7 bilion pelaburan komited dengan RM3.6 bilion direalisasikan.
Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) menyaksikan semua pelaburan RM8.5 bilion komited direalisasikan bagi tempoh enam bulan manakala Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) menyaksikan RM3.4 bilion pelaburan komited dengan RM1.7 bilion direalisasikan.
Laporan itu menyatakan, pada 13 September tahun ini, sejumlah 138 inisiatif di bawah 86 projek permulaan telah diumumkan dengan jumlah pelaburan komited bernilai RM205.2 bilion.
Pelaburan itu dijangka menjana RM136.4 bilion pendapatan negara kasar dan 372,181 peluang pekerjaan menjelang 2020.
- Bernama
