Parti KeADILan Nasional akan meneruskan perhimpunan umum bersempena sambutan ulang tahun pertama hukuman penjara ke atas bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ketua Pemuda KeADILan, Mohd Ezam Mohd Nor, memberitahu malaysiakini hari ini bahawa partinya tidak memohon permit polis untuk berhimpun di Dataran Merdeka kerana hak itu dijamin perlembagaan negara.
Semalam, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Kamaruddin Ali melarang semua perhimpunan politik dan bukan politik yang "berkuatkuasa serta merta."
Akhbar Sunday Star melaporkan perhimpunan dalam bangunan juga perlu mendapat permit dan polis akan meluluskannya selepas menilai satu demi satu permohonan.
"Perhimpunan itu dikenali sebagai 'black fourteen' (14 haribulan yang hitam) tetap diteruskan dan tidak ada sebab perlu dibatalkan," jelas bekas setiausaha politik Anwar itu.
Beliau menegaskan bahawa larangan polis itu menunjukkan negara ini seolah-olah menuju ke arah pentadbiran autokrasi.
Bagaimanapun, menurutnya, perhimpunan itu dijadualkan diadakan pada Sabtu, 15 April depan dan bukannya sehari sebelumnya bagi menggalakkan lebih ramai rakyat menghadirinya.
Ezam berkata, dalam perhimpunan tersebut, orang ramai dijadualkan mengadakan acara sembahyang hajat di kawasan lapang sebelum mereka bergerak beramai-ramai menuju Istana Negara untuk menyerahkan memorandum kepada Yang Di-Pertuan Agong.
"Raja-raja Melayu perlu campurtangan dan membebaskan rakyat daripada dibelenggu sistem (Perdana Menteri) Dr Mahathir," kata Ezam lagi.
Beliau berharap Majlis Raja-raja dapat membantu memulihkan sistem kehakiman yang semakin terhakis dan beberapa institusi penting seperti polis dan Badan Pencegah Rasuah yang "telah diperalatkan oleh pemimpin-pemimpin politik."
Tambah beliau lagi, Raja-raja Melayu perlu membebaskan rakyat sebelum mengajak ke arah, mengulas gesaan Umno agar pihak istana membantu menyelesaikan masalah perpaduan rakyat di negara ini.
