Malaysiakini
BERITA Malaysiakini

Pemuda PAS: Soi Lek dirasuk 'syaitan yang dikenali'?

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Pemuda PAS menyifatkan Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek sebagai “meracau” dan cuba menjadi “hero kartun” apabila mendakwa seramai 1.2 juta rakyat Malaysia akan hilang pekerjaan jika hudud dilaksanakan.

Ketuanya Nasrudin Hassan mempersoalkan kenyataan “dangkal”, “melucukan” dan “tidak berasas” itu ekoran ia hanya bersandarkan SMS daripada individu yang tidak dikenali, sekali gus dianggap tidak profesional dan tidak bernilai akademik.

pas umno pemuda talks parliment 010709 nasrudin hassan “Apakah Dr Chua Soi Lek telah dirasuk 'syaitan yang dikenali' sehingga lantang mempersoalkan hukum hudud hanya berdasarkan SMS yang dikirim oleh individu yang tidak dikenali?” katanya.

Dr Chua semalam mendakwa seramai 1.2 juta rakyat Malaysia akan kehilangan kerja sekiranya PAS melaksanakan hudud di Malaysia.

Memetik SMS oleh individu tidak dikenali, beliau menyenaraikan pelbagai industri yang didakwa akan terjejas, termasuk resort perjudian Genting Highlands, pusat pertaruhan dan rumah urut.

Dalam kenyataannya semalam, Nasrudin berkata, Pemuda PAS mendesak Dr Chua segera memohon maaf kepada umat Islam dan seluruh rakyat kerana didakwa mencetus keresahan masyarakat.

“Ini adalah fitnah yang melampau. Sedangkan rakyat yang beragama Islam wajib menerima hukum Alah SWT ini, sementara non-Muslim pula tidak perlu bimbang dan resah justeru perlaksanaan hukum Islam justeru ia tidak dipaksa ke atas mereka,” katanya.

Nasrudin juga menyeru supaya rakyat bijak memilih pemimpin masa depan negara, sekali gus menolak “syaitan yang dikenali bersama komponennya yang semakin meracau di usia lewat”.

chua soi lek video blog on hudud 01 Istilah “syaitan yang dikenali” digunakan meluas oleh pembangkang bagi menyindir BN ekoran kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad yang memetik peribahasa Inggeris “better to choose the devil you know than the angel that you don’t know” (terjemahan langsung: lebih baik syaitan yang dikenali daripada malaikat yang tidak dikenali).

Cemuhan serupa turut disuarakan ketua penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Lee Khai Loon yang berkata Chua "berkhayal" sehingga mengeluarkan dakwaan "mengarut" seperti itu.

"Dr Chua seperti meludah ke langit dengan mendakwa apabila Pakatan Rakyat mengambil alih kerajaan pusat, maka semua premis arak, judi, kafe siber dan refleksologi akan ditutup.

"Sebaliknya di dalam Selangor, ADUN MCA telah mengadu bahawa kerajaan negeri telah banyak meluluskan bilangan lesen kafe siber dan rumah urut yang sendirinya bertentangan dengan kenyataan Chua," katanya lagi.