Dewan Bandaraya Kuala Lumpur menarik balik notis mengosong dan merobohkan sebuah kuil lama Hindu di ibu negara ekoran bantahan di luar ibu pejabatnya hari ini.
"Mereka tidak memberikan alasan (penarikan balik) tetapi jelas sekali kerana desakan masyarakat dan saya raya mereka sendiri sedar melakukan perkara yang salah," kata Naib Presiden PKR N Surendran yang mengetuai bantahan itu.
Surendran juga memberitahu pemberita, notis itu daripada awal tidak perlu dikeluarkan dan beliau berharap ia tidak diulangi.
Ketua penerangan PPP A Chandrakumanan bagaimanapun mendakwa parti itu bertanggungjawab melakukan kerja di belakang tabir bagi tujuan itu.
Dakwanya, "kemenangan" hari ini juga disebabkan campurtangan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak
“Selepas PPP dan jawatankuasa kuil merayu kepada perdana menteri berhubung perkara ini, perdana menteri sendiri mengutus surat kepada (menteri wilayah persekutuan) Datuk Raja Nong Chik Zainal Abidin pada 4 Oktober (untuk mengekalkan kuil tersebut).
“Jadi itu bukan disebakan apa-apa tekanan daripada pembangkang," katanya Chandrakumanan ketika dihubungi selepas perhimpunan itu.
Kira-kira 50 orang berhimpun lebih sejam bermula jam 11 pagi menamatkan bantahan mereka itu selepas seorang pegawai kanan DBKL Alias Marjoh keluar dan memberitahu, pengerusi kuil terlibat boleh mendapatkan surat pembatalan daripada DBKL petang ini.
Bercakap kepada
Malaysiakini
sebelum itu, anggota Parlimen Teluk Intan M Manogaran berkata, DBKL mengeluarkan notis itu pada 30 September walaupun kes itu masih berlangsung di mahkamah.
Kuil Sri Muniswarar Kaliamman itu terletak di segi tiga emas Kuala Lumpur.
Notis bawah Seksyen 72(1) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 itu menghendaki kuil itu diruntuhkan dan dan dibersihkan dalam tempoh 30 hari kerana ia dibina tanpa kebenaran.
[Baca berita penuh]
