Sebanyak 219 kompaun bernilai RM158,050 dikeluarkan ke atas kilang di Sabah setakat bulan ini, selepas didapati melanggar Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Masidi Manjun berkata sebanyak 13 kilang dikompaun dengan jumlah keseluruhan RM26,000.
"Progam penguatkuasaan dilakukan mengikut keutamaan di mana lawatan ke kilang-kilang yang bermasalah dibuat dengan kekerapan sekurang-kurangnya empat kali setahun," katanya ketika menjawab soalan Datuk Liew Teck Chan (SAPP-Likas) pada persidangan Dewan Undangan Negeri, di Kota Kinabalu hari ini.
Masidi berkata pihak berkuasa juga sentiasa memantau Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) bagi memastikan pematuhan peraturan.
Selain itu, pihak berkuasa turut mengawasi kualiti air sungai di 36 lembangan sungai di Sabah, melibatkan 115 stesen pengawasan bagi mengesan pencemaran, katanya.
Antara lembangan sungai terbabit ialah Sungai Kinabatangan, Sungai Segama, Sungai Muanad, Sungai Kalumpang, Sungai Padas, Sungai Moyog dan Sungai Inanam, katanya.
Beliau berkata pada masa sama, pelbagai program kesedaran dan pendidikan alam sekitar dilaksana, bagi memastikan semua pihak memahami serta bertangungjawab dalam penjagaan sungai.
Kerajaan menerusi pelbagai jabatan dan agensi berkaitan juga sentiasa menjalankan kajian untuk mengenal pasti punca pencemaran dan menanganinya menerusi pelaksanaan beberapa pelan tindakan yang spesifik bagi mengurangkan pencemaran sungai di Sabah.
- Bernama
