Wee Choo Keong (Bebas-Wangsa Maju) berkata Parlimen sudah menjadi seolah-olah kawasan kedai kopi dan orang awam didapati keluar-masuk sewenang-wenangnya ke bangunan itu.
"Keselamatan adalah penting dan kita tidak mahu apa-apa berlaku dan menjejaskan keselamatan di sini. Kita sediakan payung sebelum hujan," katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2013 di Dewan Rakyat semalam.
wee (kiri) berkata selain wujud masalah tempat letak kereta, ada juga orang awam yang mengunjungi Parlimen tanpa mematuhi kod pakaian yang ditetapkan.
Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersetuju dengan cadangan Wee bahawa keselamatan di bangunan Parlimen harus dipertingkatkan bagi menjamin tahap keselamatannya.
Beliau menyifatkan laluan di hadapan pejabat beliau ibarat Jalan Tuanku Abdul Rahman berikutan ramai orang yang lalu-lalang di laluan itu.
Menurutnya, keadaan serupa turut berlaku di hadapan pejabat Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia.
"Saya boleh katakan ramai sangat orang di Parlimen. Belum saya jumpa Parlimen (di negara lain) seperti Parlimen di Malaysia.
"Di hadapan pejabat Speaker dan Timbalan Speaker orang lalu-lalang macam biasa saja, macam Jalan Tuanku Abdul Rahman. Jadi, persoalan keselamatan di Parlimen, saya setuju," katanya ketika mencelah.
Bagaimanapun, Wan Junaidi berkata satu persetujuan bersama diperlukan berhubung perkara itu.
"Kalau pegawai buat penguatkuasaan nanti, biarlah pegawai tu buat kawalseliaan mengikut apa yang dianggap sesuai. Kita sepatutnya berterima kasih kepada mereka dan jangan menghalang mereka menjalankan tugas," katanya.
- Bernama
