Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Isa: Felda beli BTS dari peneroka pada harga semasa
Diterbitkan:  Oct 24, 2012 4:58 PM
Dikemaskini: 10:49 AM

Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV) hari ini menjelaskan bahawa Felda membeli buah tandan segar (BTS) dari peneroka Felda pada harga pasaran semasa dan bukan sebagaimana yang didakwa Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, Pengerusi Felda Tan Sri Haji Mohd Isa Haji Abdul Samad berkata dakwaan Nurul Izzah itu baru-baru ini sebagai "satu kenyataan yang nakal dan bermotifkan politik."

    

Katanya harga BTS peneroka Felda masih mengikut amalan biasa yang berdasarkan harga harian minyak sawit mentah (MSM) yang dikeluarkan oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).   

“Harga ini disiarkan dalam akhbar-akhbar utama tempatan pada setiap hari,” katanya, sambil menyatakan pihaknya membuat penyelarasan dari masa ke semasa, bergantung kepada harga komoditi dan pasaran bagi MSM seperti ketika ini di mana harga MSM tidak setinggi tahun lepas dan terdapat penawaran MSM yang berlebihan.

    

Bagaimana pun, katanya ini langsung tidak memberi sebarang kesan kepada peneroka Felda.

    

Sebarang perubahan dalam formula penetapan harga hanya melibatkan pembekal BTS pihak ketiga, bertujuan mengurangkan kos yang tinggi seperti kos pengendalian di dalam keadaan pasaran di mana harga tidak begitu menarik dan permintaan adalah rendah.

    

Langkah itu mengikut amalan yang sama oleh Persatuan Pengilang-pengilang Sawit Swasta Malaysia yang mengambil kira persekitaran pasaran dalam penetapan harga BTS.

    

Isa menasihati peneroka Felda agar menjual BTS mereka terus ke kilang FPI tanpa melalui pihak ketiga (peraih) untuk melayakkan mereka mendapat harga harian MPOB (Para 2). 

FPI adalah anak syarikat Felda Holdings Bhd, yang mana 49 peratus dimiliki FGV.     

    

“Kami ingin menekankan bahawa peneroka kekal sebagai keutamaan Felda dan sebarang dasar perniagaan yang dibuat oleh Kumpulan Felda Global sentiasa mengambil kira kepentingan mereka. Matlamat kami adalah untuk memperkayakan mereka, bukannya membebankan mereka," kata Isa.

    

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS