Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Menteri: Tiada insiden tampar pelajar Orang Asli

Menteri pembangunan luar bandar dan wilayah menafikan insiden pelajar Orang Asli bukan Islam ditampar kerana enggan membaca doa makan di Gua Musang, Kelantan.

Datuk Seri Shafie Apdal juga menolak dakwaan pendidikan Islam diajar kepada pelajar berkenaan kerana mereka diberikan kebebasan memilih sama ada mahu mengikuti pengajian Islam di sekolah atau tidak.

NONE "Tidak ada kemestian seseorang pelajar itu mempelajari ilmu pengetahuan yang ada sama ada dalam bidang agama atau baca doa. Cuma kadang-kadang benda ini dipolitikkan.

"Adalah tidak benar perkara ini dilakukan," katanya ketika diminta mengulas dakwaan pengajian Islam diajar kepada Orang Asli dan terdapat murid yang dikasari kerana tidak berdoa ketika makan.

Shafie menegaskan kementeriannya komited menyelesaikan masalah begitu berdasarkan fakta jika ia benar-benar berlaku.

"Tak jadi masalah kalau ada aduan seperti ini kita akan pastikan bahawa ia dapat diatasi.

"Kita kena cari kebenaran berdasarkan fakta kerana kadang-kadang ada diadu-domba," katanya.

NONE Minggu lepas, sekumpulan ibu-bapa murid Orang Asal bukan Muslim di SK Bihai dari Pos Bihai, Gua Musang membuat laporan polis terhadap seorang guru yang didakwa menampar anak mereka kerana tidak membaca doa makan walaupun bukan Islam.

Mereka turut mendakwa pendidikan Islam diajar kepada anak-anak mereka tanpa mendapat sebarang persetujuan terlebih dahulu.

Sementara itu, ketua pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa), yang turut sama dalam sidang media itu berkata, satu pertemuan pelbagai pihak dianjurkan bagi menyelesikan "salah faham" yang berlaku.

Pertemuan itu akan melibatkan wakil Jakoa, ibu-bapa berkenaan, pejabat pendidikan daerah (PPD) dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) di Gua Musang esok, kata Datuk Mohd Sani Mistam.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS