Para pekerja Lynas Advanced Materials Plant (LAMP) di Kuantan amat yakin loji nadir bumi pertama di Malaysia itu mematuhi standard keselamatan antarabangsa, manakala operasinya memberi manfaat kepada ekonomi serta penduduk tempatan.
Jurutera Lynas Malaysia Sdn Bhd, Chin Yin Yee, berkata kesihatannya tidak terdedah kepada risiko kerana loji itu dibina mengikut standard kesihatan antarabangsa dan diberi lampu hijau oleh badan pemerhati nuklear Pertubuhan Bangsa Bersatu, Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA).
"Saya sedikit pun tidak ragu-ragu tentang keselamatan loji ini. Sungguh mengecewakan kerana apabila kami cuba menjelaskan kepada orang ramai bahawa loji ini tidak memberi masalah, mereka tidak mahu mendengarnya. Mereka lebih suka terus mempunyai tanggapan salah mengenainya," kata jurutera itu.
Chin berkata walaupun terdapat publisiti negatif dan pihak tertentu menyuarakan kebimbangan tentang keselamatan loji berkenaan, tetapi keluarganya sentiasa memberi sokongan padu sejak beliau membuat keputusan untuk bekerja di LAMP empat tahun lepas.
Katanya industri nadir bumi sedang berkembang di seluruh dunia kerana banyak komponen seperti kereta hibrid, bateri, mentol dan magnet memerlukan bahan ini dalam proses pembuatannya.
"Apabila loji ini beroperasi, industri hiliran akan tumbuh. Tanpanya, negara akan rugi. Ramai yang akan hilang pekerjaan. Jika ini terjadi, ia sesuatu yang amat menyedihkan," kata Chin.
Operasinya dijangka membawa banyak faedah ekonomi kerana ia mewujudkan 400 jawatan mahir serta membawa lima kali kesan berganda daripada segi kewujudan jawatan sekunder melalui ekosistem ekonomi. Ia juga akan menggunakan 200 pekerja kontrak tetap dan 1,000 pekerja secara tidak langsung untuk memberi perkhidmatan kepada kemudahannya.
Chin berkata tindak balas berantai terhadap operasi LAMP adalah berupa peningkatan peluang pekerjaan melalui industri sokongan apabila lebih banyak kedai makan, kontraktor dan perniagaan di sekitar Kawasan Perindustrian Gebeng akan turut mendapat manfaat.
Pengurus kanan perkhidmatan kejuruteraan LAMP, Abdul Rahman Mohamad Ali, berkata beliau gembira kerana diambil bekerja oleh syarikat itu, tetapi terkejut kerana perkara berkaitan keselamatan telah dipolitikkan hingga ke tahap boleh menjejaskan sumber rezeki mereka.
"Kebimbangan mengenai Lynas timbul kerana ia tidak berasaskan fakta. Sebenarnya, Lynas selamat.
"Keluarga menyokong keputusan saya untuk bekerja dengan Lynas. Walaupun ramai orang di luar sana begitu bimbang, tapi saya yakin kami tahu apa yang kami buat di sini dan langkah keselamatan bertaraf antarabangsa sentiasa diamalkan.
"Saya amat berharap Lynas boleh memulakan operasinya agar kebimbangan keluarga saya akan lenyap dan tiga anak saya boleh meneruskan pelajaran mereka di sini. Sekiranya tidak boleh memulakan operasinya, ramai yang akan hilang pekerjaan dan pelabur pula akan takut untuk datang ke Malaysia. Industri kita tidak akan berkembang," katanya.
Isteri beliau, Rozita Md Yassin pula berkata pada mulanya dia bimbang tentang keselamatan suaminya, tetapi setelah memahami dengan lebih jelas tentang industri nadir bumi, dia dapati semua kebimbangan yang ditimbulkan pihak tertentu, adalah tidak berasas.
"Saya harap semua pihak yang mencipta khabar angin bahawa loji ini tidak selamat, akan berhenti daripada menyebar perkara tidak benar mengenainya. Perbuatan ini menjejaskan kehidupan ramai orang," katanya.
Sementara itu, juruteknik Azlin Zawawi berkata perkara berkaitan bahaya radiasi sengaja diperbesar-besarkan.
"Seperti di kilang lain, langkah keselamatan juga diamalkan di sini. Keselamatan adalah perkara yang paling dititikberatkan. Saya harap semua pihak yang cuba memburuk-burukkan Lynas, menghentikan perbuatan mereka itu. Sebagai ketua keluarga yang perlu menyara seorang isteri dan seorang anak, kenapakah saya sanggup membahayakan diri sendiri sekiranya loji ini boleh memberi mudarat?
"Lynas adalah loji nadir bumi pertama di Malaysia. Ia membawa masuk teknologi baharu dan oleh itu, patut diberi peluang sebelum mengutuknya. Jika ia berjaya, banyak industri lain yang mempunyai kaitan dengan nadir bumi akan dibuka. Mungkin, Malaysia boleh menjadi antara pengeluar utama nadir bumi," kata Azlin.
Zaini Sabidin, yang bertugas sebagai penguasa di loji berkenaan, berkata kebimbangan masyarakat di Kuantan tidak mempunyai asas.
"Saya dah melawat loji nadir bumi di China, Lynas lebih moden serta selamat kerana ia memiliki dasar keselamatan dan kejuruteraan yang lebih baik. Isu keselamatan sengaja dimainkan demi kepentingan pihak tertentu, walaupun ia boleh menjejaskan periuk nasi sekurang-kurangnya 1,000 keluarga.
"Lynas sentiasa telus tentang keselamatannya. Ia juga menyediakan perkhidmatan pemantauan 24 jam yang terbuka kepada orang ramai untuk memeriksa kemungkinan wujudnya bahan cemar," katanya.
Datuk Dr Looi Hoong Wah, seorang penduduk Kuantan dan pakar perubatan, yang meminati bidang perubatan nuklear dan fizik zarah sejak 40 tahun lepas ketika menuntut dalam jurusan perubatan di Manchester, berkata sebenarnya, perkara yang berbahaya ialah mainan politik sesetengah pihak tentang Lynas.
Sambil menjelaskan bahawa sinar radioaktif di LAMP adalah hampir sifar, beliau berkata:"Mereka patut membuka mata dan sedar bahawa loji ini memberi manfaat besar kepada seluruh negara. Orang boleh hilang pekerjaan. Jangan rosakkan periuk nasi mereka. Mungkin anda ada pekerjaan yang baik, tapi janganlah tutup pintu rezeki orang lain. Itu bukan cara untuk menang pilihan raya.
"Semua ini merupakan pekerjaan yang berkualiti untuk orang ramai, terutama dari kawasan kampung. Mereka perlukan pekerjaan untuk memberi makan anak-anak. Sungguh tidak patut jika merosakkan periuk nasi mereka.
"Ada orang meminta kami supaya menghalau Lynas. Siapa pula yang hendak memberi makan anak-anak 1,750 orang ini? Mereka ada keluarga dan oleh itu mereka memerlukan pekerjaan. Di Malaysia tidak ada jaminan sosial khas. Pekerjaan yang baik sukar didapati," kata Dr Looi.
Mengenai radiasi, beliau berkata tidak terdapat risiko pendedahan kepada radiasi di Lynas. Dalam keadaan lebih buruk, kata beliau, "radiasi yang anda terima daripada sebuah rumah kayu yang menjadi tempat tinggal anda, adalah hampir 100 kali lebih banyak radioaktifnya berbanding tinggal berhampiran Lynas."
"Tinggal di dalam rumah batu mendedahkan anda kepada radioaktif 200 kali lebih banyak daripada tinggal di dalam khemah berhampiran Lynas," jelas Dr Looi tentang ciri-ciri keselamatan loji itu serta unsur radioaktif yang terdapat pada kayu dan bata.
- Bernama
