Yayasan Kajian dan Pembangunan (YKPD) Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) mempelawa dewan perniagaan dari semua bangsa dan persatuan perniagaan-perniagaan peringkat nasional untuk menyertai Rundingan meja bulat 1 Malaysia bagi membincangkan serta mendapatkan maklum balas daripada rumusan resolusi Kongres Ekonomi Melayu 2012 yang diadakan baru-baru ini.
Presiden DPMM, Datuk Syed Ali Alattas, berkata rundingan meja bulat itu adalah satu pertemuan penting bagi membincangkan pelbagai isu dibangkitkan pada kongres berkenaan terutama dalam memastikan hala tuju perjuangan usahawan Melayu agar ia terus dipelihara.
"Rundingan meja bulat 1 Malaysia yang akan diadakan pada Februari tahun depan dijangka disertai oleh 88 perwakilan dari pelbagai dewan perniagaan dan Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia," katanya kepada media di ibu negara hari ini.
Beliau berkata pertemuan ini juga bagi memberi penjelasan kepada salah faham banyak pihak yang menyifatkan DPMM ‘masih pandang ke belakang' menerusi rumusan resolusi baru-baru ini.
"Kami bersama dewan perniagaan yang lain akan mengkaji rumusan berkenaan dengan harapan dapat mencari langkah penyelesaian terbaik," katanya.
Syed Ali berkata antara fokus lain yang akan turut diberikan tumpuan ialah mengenai hilangnya peranan dan hala tuju agensi kerajaan yang dikatakan sudah tidak relevan lagi dalam membantu membangunkan masyarakat usahawan.
Beliau turut mengharapkan kerajaan memberikan arahan yang jelas kepada agensinya dalam memastikan Dasar Ekonomi Baru dijalankan dengan lebih berkesan.
Sementara itu, beliau berkata, DPMM juga akan mengadakan Kongres Ekonomi Melayu di peringkat negeri yang dibuat mengikut zon bermula Januari tahun depan, susulan kejayaan Kongres Ekonomi Melayu 2012.
Katanya, ia termasuklah penganjuran pameran bergerak dan penerangan bagi memberi kesedaran kepada usahawan Melayu berhubung perjuangan kongres dan kempen untuk mengajak rakyat melabur dalam Tabung Usahawan dan Pelaburan Bumiputera Bhd.
-Bernama
