Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Orang Asli hadir di Parlimen bantah dasar tanah adat
Diterbitkan:  Nov 8, 2012 4:34 PM
Dikemaskini: Nov 9, 2012 2:11 AM

dikemaskini Sekumpulan Orang Asli hadir di Parlimen hari ini membantah Dasar Pemberimilikan dan Pembangunan Tanah yang didakwa diluluskan pada tahun 2009 tanpa perbincangan rapi dengan mereka.

Penyelaras Jaringan Kampung Orang Asli, Tijah Yuk Chopil yang bersama kumpulan itu berkata mereka mengambil kesempatan bersempena persidangan tanah Orang Asli untuk hadir ke Parlimen dan menarik perhatian ahli Parlimen berkenaan perkara itu.

"Paling mendesak, tanah dan wilayah adat Orang Asli yang telah kami duduki sejak sebelum Malaysia wujud lagi kini terancam.

"Dasar Pemberimilikan ini menganggap seolah-olah Orang Asli ini pendatang haram yang tidak punya tanah langsung di muka bumi Malaysia ini," katanya dalam sidang media selepas bertemu beberapa ahli parlimen petang tadi.

Menurutnya lagi, dasar itu membuatkan Orang Asal seolah-olah meminta-minta belas ihsan dan dianak tirikan walaupun mereka juga warganegara yang sah.

"Daripada nama dasar itu dah buat kami sedih, seolah-olah dianak tiri dan dinafikan hak tanah yang kami duduki," katanya.

Bercakap mewakili yang lain, beliau turut membidas pemberian tanah seluas antara dua hingga enam ekar yang tidak mencukupi untuk tempat tinggal dan mencari makanan buat Orang Asal.

"Tanah yang hendak diberikan itu juga tapak rumah dan kebun yang jumlahnya tidak logik kononnya untuk transformasi ke arah masyarakat yang kaya-raya.

"Hanya tapak rumah dan keluasan dua ke enam ekar kebun boleh kaya atau tidak?" katanya.

Lebih dikesalkan, kata Tijah, tanah yang diberikan juga perlu diusahakan pihak lain.

"Kebun itu pun bukan dipegang Orang Asli tetapi dibangunkan orang tengah dan pembangunan tanah itu dianggap sebagai hutang Orang Asli," katanya.

Di antara ahli Parlimen yang meluangkan masa menemui kumpulan Orang Asli itu ialah Tian Chua (Batu), Fuziah Ismail (Kuantan), Dr Lee Boon Chye (Gopeng) dan Tan Sri Dr Fong Chan Onn (Alor Gajah).

 

ADS