Most Read
Most Commented
Read more like this
mk-logo
News

: Buku panduan telefon 'Yellow Pages' edisi terbaru yang diterbitkan oleh sebuah anak syarikat Telekom Malaysia Bhd masih lagi mengiklankan khidmat teman sosial (social escort) walaupun mengambil keputusan tidak berbuat demikian sejak dua tahun lalu.

Anak syarikat yang bertanggungjawab menerbitkan buku panduan itu, Telekom Publications Sdn. Bhd (TPSB), dalam suratnya bertarikh 26 Julai tahun lalu memberitahu dan berjanji kepada sebuah badan bukan kerajaan, Teras Pengupayaan Melayu (Teras), bahawa "pihak kami tidak akan mempertimbang dan meluluskan [iklan teman sosial] sebagai satu langkah idak menyokong kegiatan tidak bermoral."

Satu sumber di TPSB Kuala Lumpur memberitahu malaysiakini hari ini bahawa edisi terbaru buku tersebut, 1999/2000, yang boleh diperolehi di cawangan-cawangan Telekom memasukkan iklan empat syarikat yang menyediakan khidmat seumpama itu pada halaman 242. Bagaimanapun, menurut sumber, tidak ada paparan gambar dan kata-kata seperti iklan dalam edisi sebelum ini.

Sumber itu berkata, melalui permohonan di bawah unit hiburan, TPSB hanya mencetak empat perkhidmatan teman sosial, Florist Social Escort, Ling Da Social Escort, Malico Social Escort dan Mikado Social Escort yang disertai alamat dan nombor telefon perkhidmatan tersebut.

Hari ini sebuah akhbar pembangkang, Harakah , melaporkan Teras mendesak kerajaan menghalang iklan teman sosial yang dianggap "menyediakan perkhidmatan hubungan seks." Menurut laporan itu, dalam buku panduan telefon edisi 1998/1999 terdapat gambar yang "ditampilkan dengan cukup mengghairahkan."

"Kita berasa kesal hal demikian masih berulang setelah TPSB berjanji tidak akan menerbitkannya," kata Presiden Teras, Mohd Azmi Abdul Hamid kepada malaysiakini .

Teras mula melancarkan bantahan terhadap iklan ini pada Mei tahun lalu setelah menerima aduan ramai sejak 1998 lagi. Organisasi amanah untuk membela orang Melayu itu mendakwa - dalam suratnya kepada TPSB, Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) - hasil tinjauan NGO itu sendiri bahawa buku-buku panduan ini "diedarkan khusus ke hotel-hotel tertentu di Kuala Lumpur dan beberapa bandar lain". Teras mendesak pihak-pihak berwajib menarik balik dan membatalkan iklan khidmat teman sosial dalam buku tersebut.

Dalam surat balasannya kepada Teras, Pengurus Besar TPSB, Mahyuddin Ismail, menjelaskan pihaknya tidak tidak dapat membatalkannya kerana edisi 1998/1999 buku tersebut telah dicetak lebih awal.

"Sebagai langkah membantah kegiatan tidak bermoral dan melanggar tata susila dan budaya negara, pihak kami telah mengambil langkah memansuhkan perkhidmatan pengiklanan 'escort service' pada 5 Mei, 1998," surat yang sama dipetik.

Bagaimanapun, edisi terbaru masih lagi mempunyai iklan tersebut. Mohd Azmi berkata pihak-pihak berwajib tidak serius menangani isu tersebut yang kini berkembang pesat.

Seorang pegawai di bahagian pendakwaan dan undang-undang di Ibupejabat Polis Persekutuan, Bukit Aman mengesahkan terdapat rang undang-undang bagi melindungi gadis dan wanita daripada perniagaan pelacuran di negara ini.

"Perniagaan pelacuran adalah salah dan sekiranya cukup bukti, polis akan bertindak," kata sumber itu kepada malaysiakini . Bagaimanapun, beliau tidak menjelaskan khidmat teman sosial termasuk dalam kategori perniagaan pelacuran. Menurutnya lagi, setakat ini tidak ada sebarang aduan berkaitan iklan teman sosial dilaporkan.

Bagaimanapun sekiranya wujud perkhidmatan perniagaan pelacuran daripada iklan 'Yellow Pages' yang diterbitkan TPSB, polis akan menjalankan siasatan. Beliau menyeru orang ramai melaporkan ke balai polis berhampiran sekiranya mendapat maklumat tentang individu atau kumpulan tertentu yang memperniagakan wanita dan gadis dalam sindiket pelacuran.


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS