Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Perjuangan demi PPR Taman Manggis belum berakhir

BN Pulau Pinang akan meneruskan perjuangan bagi mendapatkan tanah Taman Manggis untuk projek perumahan rakyat (PPR) demi kepentingan rakyat.

Ketua Biro Undang-undang dan Hak Asasi Manusia Gerakan, Baljit Singh berkata perjuangan itu belum berakhir walaupun hasrat untuk membeli tanah tersebut ditolak oleh kerajaan pakatan pembangkang Pulau Pinang.

Beliau berkata BN akan terus menggesa kerajaan pakatan pembangkang itu mengemukakan terma dan syarat dalam perjanjian jual beli serta kaveat pendaftar untuk menjaga kepentingan rakyat negeri ini.

Katanya, satu kaveat pendaftar telah dimohon kepada Jabatan Tanah dan Galian Pulau Pinang pada 28 November tetapi amat mengecewakan kerana sehingga ke hari ini belum mendapat jawapan.

Tanah Taman Manggis itu tidak boleh dibangunkan selagi tidak mendapat kaveat pendaftar demi melindungi kepentingan rakyat Pulau Pinang, kata Baljit kepada pemberita di Georgetown hari ini.

Beliau berkata kaveat pendaftar itu amat penting untuk dimasukkan ke atas (pemilikan) tanah Taman Manggis di bawah kuasa yang diperuntukkan di bawah Seksyen 320 (1)(a) Kanun Tanah Negara.

Kaveat pendaftar adalah untuk mengelak penipuan dalam urusniaga seperti 'fraud' (pernyataan palsu), salah nyata dan salah penggunaan borang.

Baljit berkata kerajaan negeri seharusnya menyatakan syarat jualan tanah Taman Manggis adalah untuk kegunaan PPR sahaja jika berniat ikhlas membantu rakyat Pulau Pinang.

"Ini bukan untuk urusan komersial, ia untuk urusan PPR, untuk rakyat Pulau Pinang. Mereka (kerajaan negeri) tiada niat menjaga kepentingan rakyat Pulau Pinang. Ini hanya satu permainan politik," katanya.

Sementara itu, Ketua Pemuda BN negeri, Oh Tong Keong berkata pihaknya amat kecewa dengan keputusan kerajaan negeri yang 'memusnahkan' rancangan BN untuk membina PPR di Taman Manggis.

Oh meminta maaf kepada rakyat Pulau Pinang kerana usaha membeli tanah Taman Manggis itu gagal walaupun BN bersusah payah dan berniat ikhlas.

-Bernama

ADS