Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
DAP persoal lesen 4G untuk syarikat Syed Mokhtar
Diterbitkan:  Dec 10, 2012 11:54 AM
Dikemaskini: 8:55 AM

Setiausaha publisiti DAP Tony Pua menuntut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) menjelaskan peruntukan paling besar untuk mengusahakan jalur lebar 4G yang dianugerahkan kepada syarikat milik jutawan Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary.

Syarikat Puncak Semangat Sdn Bhd milik jutawan itu, kata Pua, tiada pengalaman dalam industri telekomunikasi tetapi diberikan bahagian paling besar pada skala 40MHz untuk lesen jalur lebar tersebut.

Tujuh syarikat jalur lebar sedia ada – Maxis Broadband Sdn Bhd, Digi Telecommunications Sdn Bhd, Celcom Axiata Bhd, U Mobile Sdn Bhd, Redtone Marketing Sdn Bhd, YTL Communications and Packet One Networks (M) Sdn Bhd – sebaliknya dianugerahkan jalur lebar pada skala 20MHz, katanya.

"Soalan paling terus-terang untuk ditanya kepada SKMM ialah – mengapa syarikat dengan rekod prestasi kosong dalam industri diberikan keistimewaan untuk memperolehi bahagian paling besar jalur lebar?," soalnya.

Katanya lagi, langkah itu menunjukkan bahawa SKMM meneruskan amalan memberi lesen kepada syarikat yang kurang pengalaman atau keupayaan kewangan.

"Dalam pemberian jalur lebar untuk spektrum 3G dan Wimax sebelum ini, beberapa syarikat gagal melaksanakan perkhidmatan atau menjual lesen mereka untuk keuntungan mudah," katanya lagi dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, beliau kecewa kerana sistem penganugerahan lesen itu tidak melibatkan bidaan seperti yang diamalkan dengan negara maju lain.

"Proses bidaan bukan sahaja memastikan hanya syarikat yang komited mengambil bahagian, tetapi turut meningkatkan hasil yang berharga kepada kerajaan," katanya, memberi contoh amalan yang dilakukan di United Kingdom, Jerman, Sweden.

Malah, negara seperti Thailand sudahpun mengamalkan bidaan manakala Taiwan, Singapura dan Brazil juga merancang untuk mengadakan bidaan pada tahun 2013, katanya.

"Nampaknya di Malaysia, pengawal atur kita hanya lebih berminat untuk meningkatkan keuntungan syarikat telekomunikasi kita malah condong kepada pihak berpengaruh tertentu walaupun tiada rekod prestasi," katanya.

ADS