Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Barisan Nasional (BN) Selangor mempersoalkan tindakan tiga pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri itu yang didakwa tidak memberi respons terhadap maklumat yang disalurkan oleh Pusat Khidmat Rakyat Barisan Nasional (PAKAR) kepada mereka.

    

Koordinator BN Selangor Datuk Seri Mohd Zin Mohamed berkata kesemua aduan berkaitan perkhidmatan PBT di negeri itu yang diterima melalui PAKAR, di salurkan kepada PBT berkenaan untuk tindakan selanjutnya termasuk berkaitan masalah pungutan sampah.

    

NONE "Semua aduan yang kita salurkan adalah masalah yang dibangkitkan oleh rakyat yang sepatutnya diambil perhatian, saya tidak tahu mengapa mereka tidak beri respons, pada saya jangan ambil kira kepentingan politik kerana ini isu rakyat," katanya kepada pemberita di Shah Alam semalam.

    

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan PBT terbabit dan akan melakukannya sekiranya masih tiada tindakan diambil selepas perkara ini didedahkan.

    

PAKAR yang mula beroperasi pada 9 April lepas berfungsi sebagai medium komunikasi dan perkhidmatan parti itu kepada rakyat menerusi talian 1-300-22-2626 serta turut menerima aduan berhubung wakil rakyat di kawasan masing-masing dan masalah pengurusan sampah.

Sementara itu, Mohd Zin mendesak supaya kerajaan Selangor membatalkan tindakan menaikkan bayaran lesen 90 jenis perniagaan di bawah Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) bermula 2013 seperti yang dilaporkan media baru-baru ini.

    

Beliau mendakwa PBT berkenaan mengenakan bayaran lesen ke atas 32 jenis premis yang sebelum ini dikecualikan ketika di bawah kerajaan BN termasuk Rumah Kebajikan Orang Tua, Rumah Orang Kelainan Upaya dan Pusat Jagaan Kanak-Kanak.

    

"Saya berpendapat premis yang beroperasi bagi tujuan kemasyarakatan ini perlu dikenal pasti dan diberikan lesen untuk beroperasi agar pemantauan boleh dilakukan," katanya.

    

Mohd Zin turut kesal dengan tindakan Majlis Bandaraya Shah Alam yang mengenakan cukai pintu 10 kali ganda ke atas penduduk Kampung Baru Sungai Buloh dan Kampung Baru Subang seperti yang dilaporkan media Sabtu lepas.

"Perkhidmatan perbandaraan yang diberikan tidak memuaskan tetapi naikkan cukai pintu, saya tidak faham apakah rasional disebalik tindakan ini. Inikah kerajaan yang memikirkan kebajikan rakyat.

    

"Saya masih ingat dalam manifesto mereka ada menyebut cukai pintu akan diturunkan sehingga 20 peratus, tetapi apa sudah jadi sekarang," katanya.

'Karnival Sayangi S'gor'

Sementara itu, Mohd Zin berkata, BN Selangor menyasarkan kehadiran 500,000 pengunjung sepanjang 'Karnival Sayangi Selangor' di I-City, Seksyen 7 di sini selama empat hari, mulai 29 Disember depan.

    

Koordinatornya, Datuk Seri Mohd Zin Mohamed berkata karnival itu akan dipenuhi dengan pelbagai aktiviti berkonsepkan santai bersama keluarga termasuk persembahan kebudayaan, pertandingan memasak, pertandingan bintang kecil dan aktiviti air.

    

"Kita harap karnival ini menjadi platform terutama bagi keluarga muda sambil mendapatkan maklumat berkaitan agensi kerajaan dan pameran kerjaya," katanya.

Sebanyak 86 gerai jualan mencakupi produk industri kecil dan sederhana serta produk Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Selangor akan dijual pada harga berpatutan.

    

Mohd Zin turut berkata sambutan 'countdown' sempena tahun baru 2013 akan diadakan di tapak karnival itu.

Sementara itu, beliau berkata 5,000 individu terdiri daripada anggota badan bukan kerajaan, ahli perniagaan dan bekas penyokong pembangkang dijangka menyerahkan borang sebagai anggota rakan BN pada karnival itu.

    

Katanya Pusat Khidmat Rakyat BN juga akan membuka kaunter sepanjang karnival berlangsung untuk membolehkan pengunjung membuat aduan atau menyalurkan maklumat berkaitan.

    

Radio BN Selangor pula akan bersiaran secara langsung dari tapak karnival kali ini, tambahnya.   

- Bernama

ADS