Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
IKIM siar muzakarah jelas isu kalimah Allah melalui internet tv

Menyedari isu penggunaan kalimah Allah yang berterusan dipolemikkan di negara ini, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) melalui saluran Internet TV IKIM hari ini menyiarkan rakaman program Muzakarah Pakar 'Terjemahan God sebagai Allah' : Mengenal pasti punca dan penyelesaiannya.

Ketua Pengarah IKIM Datuk Nik Mustapha Nik Hassan berkata program pertama kali yang disiarkan IKIM itu bagi menyatakan pendirian IKIM dan memperjelaskan kepada umum kesalahan menggunakan perkataan 'Allah' sebagai terjemahan kepada 'God'.

"Pendirian IKIM kekal bahawa penggunaan Allah sebagai terjemahan kepada God tidak dapat diterima kerana ia bukan sahaja menyalahi lunas-lunas bahasa bahkan tidak dapat dipertahankan dari segi akidah, sejarah mahupun undang-undang.

"Menyedari hakikat ini, menjadi kewajipan IKIM untuk mengambil langkah yang sewajarnya bagi memelihara kesucian bahasa agar tidak dicemari unsur asing yang boleh mengelirukan pegangan masyarakat Islam," katanya dalam kenyataan di ibu negara hari ini.

Jelasnya Bahasa Melayu adalah tergolong dalam rumpun bahasa Islam dan makna yang sah bagi kalimah 'Allah' ialah makna yang dikehendaki oleh Al-Quran dan dijelaskan dalam akidah Islam.

"Dalam surah Al-Ikhlas, Allah berfirman dengan maksud; "Katakanlah: Dia adalah Allah, Yang Maha Esa. Allah, yang Maha Kekal Abadi tiada berkesudahan. Tiada Dia beranak dan tiada pula Dia diperanakkan. Dan bagiNya tiada satu pun tara (setara)," katanya.

Malahan katanya keputusan Kabinet pada 16 Mei 1986 juga telah memutuskan empat istilah Islam yang tidak boleh digunakan dalam Bible dalam apa jua keadaan iaitu; Allah; Kaabah; Baitullah dan Solat.

Nik Mustapha berkata ia berbeza dengan konsep ketuhanan yang dianjurkan dalam agama Kristian yang berasaskan konsep triniti iaitu Tuhan Bapa, Tuhan Anak dan Tuhan Roh Suci (Holy Spirit).

Beliau berkata demikian bagi mengulas isu kalimah Allah yang kembali panas apabila Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dalam perutusan sempena Hari Krismas Disember lalu meminta kerajaan pusat membenarkan penggunaannya dalam kitab Bible di Semenanjung.

Pada 2010, Gereja Katolik dibenarkan menggunakan perkataan Allah dalam penerbitan mingguannya, Herald - The Catholic Weekly setelah Mahkamah Tinggi berpendapat bahawa setiap individu mempunyai hak berperlembagaan untuk menggunakan perkataan Allah.

Selain program siaran muzakarah melalui Internet TV yang dilaksanakan khas untuk tontonan umum itu, IKIM pada Jan 2010 turut melaksanakan satu muzakarah pakar secara tertutup bagi membincangkan isu yang sama di Dewan Besar IKIM.

-Bernama

ADS