Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Isu kalimah Allah: S'gor akur titah sultan, kata MB

Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim berkata kerajaan negeri akur dengan titah Sultan Selangor yang melarang penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam di negeri itu.

"Untuk negeri, kuasa mengenai agama Islam dan undang-undang berkenaan perkara ini adalah di bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor.

"Kuasa itu akan diterima kerajaan negeri kerana ini adalah undang-undang yang telah diluluskan oleh dewan negeri," katanya pada sidang media petang tadi.

Katanya lagi, penggunaan kalimah itu juga melibatkan Warta Kerajaan Negeri Jilid 63 No 4 yang menetapkan penggunaannya tidak boleh melibatkan unsur penghinaan atau penyalahgunaan.

Beliau memberikan contoh lagu negeri Selangor yang mengandungi kalimah Allah dan turut dinyanyikan oleh golongan bukan Islam.

"Jadi kalau kita menyanyi lagu Selangor, itu bukan penghinaan.

"Hanya sekiranya terdapat unsur-unsur penghinaan dan penyalahgunaan, jadi tak adalah (salah).

"Untuk negeri Selangor, perkataan Allah ini dijaga oleh enakmen negeri supaya tidak berlaku unsur-unsur ini. Itu sahaja dia punya tanggungjawab," katanya dalam satu sidang media petang ini.

Khalid berkata, beliau yakin peruntukan undang-undang negeri mampu memelihara kesucian kalimah itu.

"Ada baiknya kerajaan negeri yang menjaga Islam menjaga perkataan ini daripada disalahgunakan," katanya.

Isu kalimah Allah kembali rancak dibincangkan apabila ketua menteri Pulau Pinang dalam perutusan Krismasnya menggesa agar penganut Kristian dibenarkan mengguna kalimah itu dalam kitab Injil berbahasa Melayu.

Pimpinan Pakatan Rakyat semalam menerusi presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang turut menyatakan pandangan bahawa berkata Islam tidak menghalang penganut agama lain menggunakan kalimah 'Allah' dalam amalan mereka, walaupun tidak mencapai maksud asal bahasa al-Quran.

Majlis Agama Islam Selangor semalam turut mengeluarkan satu kenyataan bahawa Sultan Selangor bertitah menetapkan kalimah Allah tidak boleh sama sekali digunakan di negeri Selangor oleh mana-mana agama bukan Islam seperti difatwa dan diwartakan pada 18 Februari 2010.

ADS