Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) memohon institusi Raja-Raja Melayu bertindak mengikut lunas undang-undang terhadap mereka yang terlibat dalam isu penggunaan kalimah Allah dalam Bible

versi Bahasa Melayu.  

Hanya institusi Raja-Raja Melayu yang sesuai mengambil tindakan terhadap mereka itu bagi memastikan kesucian Islam terus terpelihara, kata Presidennya Datuk Ibrahim Ali pada majlis ceramah 'Jom Tolak Pakatan' di Taman Berkat, Meru malam tadi.

Majis itu turut disertai Pengerusi JATI Datuk Dr Hasan Mohamed Ali dan beberapa NGO seperti Nambikai dan Pertubuhan Jaringan Cina Malaysia.

Baru-baru ini Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dilaporkan

membangkitkan semula isu kalimah Allah melalui laman blognya dengan menggesa kerajaan pusat membenarkan penganut Kristian di Semenanjung menggunakan kalimah Allah dalam Bible versi Bahasa Melayu.

Berikutan gesaan itu, Sultan Selangor melalui Setiausaha Majlis Agama Islam Selangor (Mais) Datuk Mohd Misri Idris mengeluarkan kenyataan kelmarin dan menitahkan bahawa kalimah Allah merupakan kalimah suci khusus bagi umat Islam tidak boleh sama sekali digunakan di negeri Selangor oleh mana-mana agama bukan Islam lain sebagaimana yang telah diwartakan.

Sementara itu, Dr Hasan percaya isu berkenaan dibangkitkan kembali oleh Lim bagi meraih sokongan penganut Kristian di Sabah dan Sarawak untuk mencerahkan peluang pakatan pembangkang menguasai Putrajaya.

"Apa yang menyedihkan ialah pemimpin tertinggi PAS sanggup bersetuju dengan kehendak DAP dalam isu penggunaan kalimah Allah oleh penganut agama lain," katanya.

Setiausaha Veteran Umno, Datuk Mustapha Yaakub turut menggesa pembangkang supaya menghentikan perbuatan menggunakan isu kalimah Allah untuk memancing undi.

Beliau berkata lebih menyedihkan parti PAS yang melabel dirinya sebagai parti Islam dilihat gagal menasihatkan rakan pembangkangnya DAP daripada terus menggunakan isu itu untuk kepentingan politik sempit mereka.

"Veteran Umno berdiri teguh di belakang Sultan Selangor (Sultan Sharafuddin Idris Shah) yang memberi amaran supaya kalimah Allah tidak digunakan dalam Bible versi Melayu dan tidak sewenang-wenangnya disalahgunakan.

"Kami berharap amaran ini menjadi panduan kepada sesiapa saja yang cuba menghina kalimah suci itu. Kami juga ingin mengucapkan syabas kepada Baginda yang lantang tampil menyatakan pendiriannya sebagai ketua agama Islam di Selangor," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Mustapha berkata Veteran Umno memohon agar Sultan Sharafuddin Idris Shah membawa isu kalimah Allah itu kepada Majlis Raja-Raja bagi memastikan ia dilindungi daripada penyalahgunaan.

- Bernama

ADS