Operasi Rumah Pam Wangsa Maju yang mengeluarkan 180 Juta Liter Sehari (JLH) masih belum dapat menampung permintaan di kawasan terjejas.
Ketua Pegawai Operasi Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) Datuk Lee Miang Koi berkata buat masa ini 97 peratus masalah bekalan air di Gombak telah pulih, manakala di wilayah Kuala Lumpur 27,000 pengguna masih terjejas.
Sebahagian pengguna telah menerima bekalan air sokongan daripada Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Langat yang kini beroperasi melebihi kapasiti reka bentuknya, katanya dalam kenyataan, di Kuala Lumpur hari ini.
Menurut Lee, kerja pemasangan paip pintasan di Rumah Pam Wangsa Maju yang dilaksanakan sejak 8 Jan lepas dijangka siap Isnin ini.
Pemasangan paip pintasan itu dianggar dapat menyalurkan lebih 30 JLH air terawat dari Kolam Dusun Kubung ke kawasan terlibat selewat-lewatnya Khamis ini, katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata Syabas menambah 86 lori tangki menjadikan jumlah keseluruhan 2,891 buah lori tangki beroperasi sejak 29 Dis lepas.
Selain itu, Syabas juga menugaskan 950 pekerja bahagian operasi dan kontraktor untuk membantu golongan kurang upaya mengangkut air ke rumah mereka selain mengagihkan bekalan.
Dalam perkembangan lain, Syabas telah mengaktifkan ERP Kod Hijau di wilayah Petaling pada pukul 9.30 malam semalam berikutan penurunan paras air di kolam Lapangan Terbang Subang dan kolam Air Bukit Dengkil yang dikesan dua hari lalu.
"Penurunan paras air di kolam-kolam utama Syabas berlaku ekoran peningkatan kapasiti penggunaan bekalan air terawat oleh pengguna dan ia tidak dapat menampung permintaan yang semakin meningkat," katanya.
Antara kawasan terjejas ialah Subang Jaya iaitu SS12, SS13, SS14, SS15, SS16, SS17, SS18, SS19, sebahagian SS & Kelana Jaya, Lembah Subang, Hyatt Saujana Glenhill, Jalan Subang Airport, Saujana O Lot (Temasya) dan Taman Industri Hicom.
- Bernama
