Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mahkamah kekal keputusan ROS batal pendaftaran SNAP

Mahkamah Persekutuan Putrajaya hari ini mengekalkan keputusan Pendaftar Pertubuhan (ROS) membatalkan pendaftaran Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) pada 2002.

Keputusan itu diputuskan panel hakim lima anggota selepas parti politik itu gagal mematuhi notis ROS meminta parti itu mengemukakan bukti krisis kepimpinan parti itu telah selesai.

Mahkamah membenarkan rayuan ROS untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan pada Jun 2010 yang mengekalkan pendaftaran parti itu.

Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Abdull Hamid Embong yang mengetuai panel itu memutuskan ROS mempunyai bidang kuasa mengikut Seksyen 16 (1) Akta Pertubuhan 1966 untuk mengarahkan parti menyelesaikan pertikaiannya.

Abdull Hamid berkata keputusan membatalkan pendaftaran SNAP berikutan kegagalan SNAP mematuhi notis ROS dan menambah tiada alasan diperlukan di bawah undang-undang itu.

"Tiada bukti wujud niat buruk atau berat sebelah terhadap SNAP apabila ROS bertindak mengikut Seksyen 13(1)(c)(ix) (Akta Pertubuhan). Tindakan (ROS) lebih bersifat pentadbiran berbanding kuasi-kehakiman, walaupun hak SNAP terjejas," katanya.

Panel itu turut dianggotai Hakim Mahkamah Persekutuan terdiri daripada Tan Sri Suriyadi Halim Omar, Datuk Ahmad Maarop, Datin Paduka Zaleha Zahari dan Datuk Sulong Matjeraie, dan mengarahkan SNAP membayar kos guaman RM20,000 kepada ROS.

Pada 2002, kepimpinan parti SNAP berpecah dua antara puak bekas presiden parti mendiang Datuk Amar James Wong Kim Min dan mendiang Datuk Seri Peter Tinggom, bekas naib presiden parti, yang kemudiannya menubuhkan parti baharu, Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP).

Pada 5 November 2002, ROS membatalkan pendaftaran SNAP berikutan kegagalan parti itu mematuhi arahan ROS untuk mengemukakan bukti krisis itu telah diselesaikan.

Timbalan Presiden SNAP ketika itu Datuk Justin Jinggut memfailkan semakan kehakiman terhadap keputusan ROS, bagaimanapun ia ditolak Mahkamah Tinggi pada 15 Sept 2006.

Pada 23 Jun 2010, Mahkamah Rayuan mengekalkan pendaftaran parti itu selepas membenarkan rayuan Jinggut untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi.

Pada 21 Feb 2012 Mahkamah Persekutuan memberi kebenaran ROS untuk mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan.

Ditubuhkan pada 1961, SNAP pernah menjadi parti komponen Barisan Nasional Sarawak. Presidennya sekarang ialah Stanley Jugol.

ROS diwakili Peguam Kanan Persekutuan Amarjeet Singh manakala SNAP diwakili peguam Khoo Guan Huat.

- Bernama

ADS