Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) masih melakukan kajian mengenai pemberian permit teksi individu dan menyemak semula kadar pajakan (sewa beli) teksi untuk diseragamkan pada masa depan, kata Pengerusinya Tan Sri Syed Hamid Albar.

Katanya sehingga kini terdapat 37,000 jumlah teksi permit di Kuala Lumpur dan Lembah Klang dan 45 peratus dari jumlah tersebut adalah permit teksi individu.

"SPAD perlu meneliti secara menyeluruh mengenai pengeluaran permit teksi individu kerana pengusaha teksi sebelum ini telah menyatakan kebimbangan mereka kepada SPAD dan menganggap SPAD kini mahu menjalankan perniagaan teksi pula menerusi pemberian permit teksi berkenaan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri majlis ramah mesra bersama lebih 500 pemandu teksi dari Lembah Klang di ibu pejabat SPAD di Kuala Lumpur Sentral di Kuala Lumpur, hari ini.

Katanya tiada pemberian permit teksi baharu dikeluarkan setakat ini kerana SPAD tidak mahu ada lambakan permit teksi yang tidak aktif.

"Kebanyakan kes sebegini membabitkan individu, koperasi dan persatuan yang menerima Surat Tawaran Kelulusan (STK) teksi tetapi gagal dilesenkan dalam tempoh yang telah ditetapkan," katanya.

Selain itu, SPAD akan berunding dengan pengusaha teksi untuk menyeragamkan sistem bayaran sewa beli sedia ada kerana terdapat bayaran sewa berbeza sekarang iaitu antara RM15 sehari sehingga RM45 sehari.

"SPAD sekarang sedang mengumpul maklumat pemegang permit teksi individu yang tidak aktif, dan sekiranya mereka tidak mempunyai keupayaan dari segi kewangan untuk urusan pembelian kereta baru, insurans dan sebagainya SPAD akan membantu mereka mendapat pembiayaan dari institusi kewangan kelak," katanya.

SPAD tidak sewenang-wenangnya merampas permit teksi dari pengusaha teksi tapi ia dilakukan selepas pengusaha teksi menyerahkan kembali permit teksi yang tidak aktif itu, kata Syed Hamid.

Dalam pada itu, Syed Hamid berkata SPAD merancang untuk menggabungkan syarikat-syarikat teksi dalam memajukan industri perkhidmatan pengangkutan awam itu sama seperti penggabungan bank ketika Malaysia dilanda kegawatan ekonomi pada pertengahan tahun 1990-an dulu.

Ditanya mengenai majlis ramah mesra bersama lebih 500 pemandu teksi dari Lembah Klang hari ini, Syed Hamid berkata ia bertujuan menjalinkan hubungan rapat antara anggota SPAD dan pemandu teksi.

Beliau berkata pemandu teksi berperanan membersihkan imej pengangkutan awam di Malaysia selepas mendapat maklum balas yang negatif dari warga asing dan tempatan seperti tidak menggunakan meter, tambang mahal, memilih penumpang, destinasi dan sebagainya.

Bagaimanapun, ia hanya membabitkan segelintir pemandu teksi dan bukan semuanya bersikap sedemikian, katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta pemandu teksi datang berjumpa dengan anggota SPAD sekiranya mereka mempunyai sebarang aduan atau cadangan dan pelan penambahbaikan operasi teksi oleh SPAD kini berada di peringkat akhir.

Pelan tersebut bertujuan untuk menaik taraf kehidupan pemandu teksi, mengurangan kos operasi, pengukuhan kawal selia SPAD dan juga melibatkan pembangunan sistem teksi secara keseluruhan.

- Bernama

ADS