Most Read
Most Commented
Read more like this

Seorang pelajar Universiti Utara Malaysia yang digantung pengajian selama 18 bulan atau tiga semester hari ini mengambil tindakan undang-undang terhadap universiti itu. Bekas pemimpin Majlis Perwakilan Pelajar universiti itu, Mohd Rizal Mohd @ Anan, berkata beliau mengambil tindakan itu kerana pihak berkuasa tatatertib UUM telah melanggar banyak prosedur dan hak pelajar.

"Kami akan menfailkan (saman) 'dengan segera' di mahkamah di Alor Star untuk mencabar (keputusan tatartertib) UUM itu," kata peguam bela pelajar tersebut, Mohamad Hanipa Maidin, dalam satu sidang akhbar pagi ini.

Bagaimanapun Hanipa tidak menjelaskan tarikh khusus tindakan mahkamah terhadap universiti akan diambil.

"Tindakan UUM (terhadap Rizal) tidak munasabah. (Ini menunjukkan) kebebasan bersuara dalam kampus seolah-olah dinafikan," kata Hanipa lagi.

Pelajar tahun akhir pengajian perakaunan itu didapati bersalah "menjatuhkan nama baik pelajar dan maruah universiti" dan digantung mulai 14 Mac lalu.

Beliau dituduh demikian semasa menghadiri satu majlis dialog anjuran Biro Hal Ehwal Agama MPP antara pelajar dengan penulis Utusan Malaysia , Astora Jabat, pada 11 Feburuari.

Menurut kenyataan bertulisnya kepada wartawan, Rizal mengaku mempertikaikan tujuan MPP universiti itu menjemput seorang 'penulis yang kontroversi' Astora.

Beliau juga mengaku berkata dalam sesi soal jawab itu bahawa penulis itu tidak tahu membezakan antara yang benar dan salah tetapi pelajar UUM dapat membezakannya.

Rizal juga menimbulkan isu kemampuan MPP mewujudkan mesin pengeluaran wang segera (ATM).

Selepas majlis dialog itu, Astora menulis dalam kolumnya di akhbar Utusan Malaysia pada 18 Februari lalu bertajuk 'Kehidupan kampus dalam bahaya.' Beliau juga menulis hal itu dalam Mingguan Malaysia , dua hari selepas artikel itu diterbitkan. Ekoran dua tulisan itu, UUM menuduh Rizal memalukan pihak universiti.

Bagaimanapun, menurut Rizal, penulis itu sendiri telah menafikan hal itu seperti kenyataannya kepada malaysiakini. Astora dalam kenyataannya sebelum ini membantah tindakan UUM itu, dan sebaliknya berkata "perbezaan pandangan bukannya jenayah" dan tidak wajar dihukum.

"Saya tidak menghina atau mencaci (sesiapa) semasa melahirkan pandangan dan persoalan dalam majlis tersebut," kata Rizal. Beliau menambah, kenyataan yang diutarakannya berdasarkan hujah yang rasional.

Katanya, UUM menuduh beliau menjatuhkan maruah universiti tanpa mengemukakan sebarang bukti.

Sementara itu, Rizal turut menafikan kenyataan Setiausaha Parlimen Kementerian Pendidikan, Datuk Mahadzir Mohd Khir dalam akhbar Berita Harian pada 30 Mac lalu yang bertajuk 'AUKU tidak tindas pelajar'.

Rizal menafikan pernah terlibat dengan sebarang perarakan bagi menghalang forum penjelasan berhubung isu Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pelajar itu juga menafikan terlibat menyusun strategi membantu PAS di Kubang Pasu pada pilihanraya lalu dan juga menafikan menganggu program dialog agama tersebut sehingga memalukan pihak universiti, seperti didakwa oleh Mahadzir.

Sidang akhbar hari ini turut dihadiri oleh wakil pelajar, antaranya Presiden Gabungan Mahasiswa Islam Semenanjung (Gamis), Borhanuddin Ahmad, Pengerusi Barisan Bertindak Mahasiswa Negara (BBMN), Mohd Hafeez Abdul Samad, Penyelaras Pertubuhan Pelajar dan Belia Demokratik Malaysia (Dema), Yong Pai Chee, Naib Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Ahmad Saparudin Yusup, wakil Gerakan Mahasiswa Lantang Negara, Khairul Anuar Ahmad Zainudin, dan juga Timbalan Presiden Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM), Mohd Nazri Chik.

"Wakil pelajar seluruh negara juga akan bergabung tenaga menyokong tindakan Rizal itu," ujar Timbalan Presiden PMIUM, Mohd Nazri Chik kepada malaysiakini .


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS