Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kes tanah: Penghulu Orang Asli Temuan buat laporan polis
Diterbitkan:  Jan 29, 2013 5:40 PM
Dikemaskini: 9:43 AM

Penghulu masyarakat Orang Asli kaum Temuan hari ini membuat laporan polis terhadap Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Langat kerana didakwa memindah milik tanah seluas 7,160 hektar di Mukim Tanjung Duabelas, Kuala Langat kepada pihak lain tanpa pengetahuan mereka.

Penghulu masyarakat Orang Asli kaum Temuan hari ini membuat laporan polis terhadap Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Langat kerana didakwa memindah milik tanah seluas 7,160 hektar di Mukim Tanjung Duabelas, Kuala Langat kepada pihak lain tanpa pengetahuan mereka.

    

Malam anak Gerchang yang diwakili Raymond Tan membuat laporan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam di Shah Alam.

    

Raymond ketika ditemui pemberita selepas membuat laporan berkata tindakan itu dibuat selepas mendakwa mereka mendapati wujudnya penipuan kerana terdapat pencerobohan dan pengambilan tanah Orang Asli tanpa kelulusan daripada mereka.

    

"Kami percaya dalam tempoh lima tahun ini, banyak tanah telah dipindah milik dan dijual kepada syarikat dan sektor swasta, dan kami ada bukti serta maklumat daripada carian rasmi di pejabat tanah berhubung semua dokumen yang pernah dipindah milik kepada pihak ketiga, keempat.

    

"Kami dah banyak kali tulis surat kepada pihak Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor dan exco kerajaan negeri Selangor tetapi tidak pernah dibalas. Tanah ini hanya tinggal beberapa ratus ekar, itupun kebanyakannya sudah menjadi lombong kerana berlaku kecurian pasir," katanya.    

    

Sehubungan itu, Raymond berkata pihaknya berharap satu siasatan menyeluruh akan dibuat berhubung status tanah berkenaan sama ada ia dipindah milik mengikut saluran yang betul atau sebaliknya.

    

Pada Julai 2011, Malam yang mewakili 4,000 masyarakat Orang Asli kaum Temuan memfail saman di Mahkamah Tinggi Shah Alam berhubung aktiviti komersil yang didakwa dilakukan di tanah berkenaan termasuk perlombongan pasir.

    

Mereka menamakan Kerajaan Selangor, Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Langat serta Kumpulan Semesta Sdn Bhd sebagai defendan.

    

Masyarakat Orang Asli itu antara lain memohon injunksi interlokutori

terhadap semua defendan untuk menghentikan segala aktiviti termasuk perlombongan pasir di tanah di Mukim Tanjung Duabelas itu.

    

Dalam pernyataan tuntutan, mereka mendakwa hartanah seluas 7,160 hektar itu telah diperuntuk sebagai kawasan rezab Orang Asli serta merupakan tanah warisan dan tanah adat yang diwariskan kepada lebih 4,000 penduduk Orang Asli kaum Temuan sejak kira-kira 200 tahun dahulu.

    

Pada 18 Jun 2012, Mahkamah Tinggi menolak permohonan defendan untuk mengetepikan saman itu selepas mendapati terdapat alasan kukuh bagi meneruskan kes itu melalui perbicaraan penuh.

    

Kes itu disebut semula pada Mac ini untuk mahkamah menetapkan tarikh perbicaraan.  

    

- Bernama

ADS