Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Kumpulan mahasiswa dikenali sebagai Gerakan Mahasiswa PRU13 mengumumkan akan menurunkan calon bertanding di parlimen Pekan dalam pilihan raya umum akan datang.

Bercakap dalam satu sidang media hari ini, pengerusi kumpulan siswa tersebut Syis Abdul Kadir berkata calon mereka itu akan diumumkan sebaik sahaja perdana menteri mengumumkan tarikh pilihan raya.

NONE Mereka kini sedang menimbangkan beberapa orang daripada kalangan mereka untuk berdepan presiden Umno itu dalam pertandingan satu lawan satu, katanya.

Tambahnya, tindakan bertanding di kawasan kubu kuat perdana menteri itu bagi menunjukkan sentimen mahasiswa yang didakwa menolak pentadbiran Datuk Seri Najib Razak.

Syis berkata, kumpulan mahasiswa dengan kekuatan jentera seramai 500 orang itu akan berkempen dengan membawa isu melibatkan golongan pelajar.

"Isu mahasiswa bukan sekadar isu mahasiswa sahaja - isu pendidikan percuma, isu PTPTN, yang menjadi penjamin itu adalah ibu dan ayah (yang bukan mahasiswa).

"Isu mahasiswa juga adalah isu rakyat sebenarnya," kata Syis yang menambah, kempen tersebut akan dimulakan dengan program 'Mahasiswa Turun Pekan' bermula 11 hingga 17 Februari depan untuk "mendekati dan memahami jerih perih kehidupan rakyat".

Sidang media pagi tadi turut disokong beberapa gerakan mahasiswa lain antaranya Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis), Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Aksi Mahasiswa Peduli (AKSI), serta persatuan mahasiswa Islam dari Universiti Malaya dan Universiti Putra Malaysia.

Hujung tahun lepas, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengumumkan bahawa mahasiswa dibenarkan bertanding bertanding dalam pilihan raya umum ke-13.

Menurutnya ia dibuat untuk mengiktiraf fungsi, sumbangan serta kematangan pemikiran mahasiswa dalam negara.

ADS